sukan

Ini berita baik untuk peminat Harimau Malaya — FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan kelima-lima pemain warisan dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya melepasi tapisan ketat ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, segala proses berkaitan pemain warisan telah melalui penelitian rapi badan induk bola sepak dunia itu dan tiada sebarang isu berbangkit mengenai kelayakan mereka.

“Semua pemain warisan yang ada sudah diperiksa oleh FIFA dan seperti yang kita tahu FIFA adalah satu badan yang tegas. Jadi semuanya sudah disemak oleh FIFA dan FAM hanya ikut prosedur serta arahan yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, FAM memaklumkan bahawa lima pemain warisan baharu iaitu Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado telah menerima kelulusan rasmi daripada FIFA untuk mewakili skuad kebangsaan.

Kelima-lima pemain tersebut kemudian membuat penampilan sulung ketika Harimau Malaya menang ke atas Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Perlawanan itu juga menyaksikan kesemua mereka mempamerkan aksi meyakinkan dan berjaya menarik perhatian penyokong tempatan walaupun sebelum ini kehadiran mereka menerima pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada pihak tertentu yang mempertikaikan elemen patriotisme.

Menurut Joehari, FAM terbuka untuk menjelaskan proses yang telah dilalui, namun dalam masa sama percaya bahawa ketelusan FIFA dalam soal pematuhan peraturan warganegara dan warisan tidak seharusnya diragui.

sumber:- SH

“Tiada masalah untuk kami dedahkan. Namun, FIFA pun sudah semak dan kami mengikut sahaja keputusan daripada FIFA,” katanya.