sukan

Ini bukan padang untuk bola sepak – Kuljanac

KUALA LUMPUR: Beraksi di atas padang tiruan di Stadium Jalan Besar jelas memberikan kesukaran sehingga menyebabkan KL City FC bagaikan serba tidak menjadi sekali gus tumbang 0-2 di tangan Lion City Sailors FC bagi aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25, semalam.

Situasi itu diakui pengendali skuad Warga Kota, Miroslav Kuljanac apabila anak buahnya bergelut untuk menyaingi kemampuan tuan rumah yang berjaya merakam kemenangan pertama pada kempen kali ini selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.

“Saya tidak boleh jangkakan kita akan bolos menerusi sepakan sudut tetapi inilah bola sepak. Selepas itu, kita sedikit kehilangan punca dan tidak begitu pasti untuk bermain khususnya ketika memberi tekanan kepada mereka.

“Mereka banyak bermain hantaran jauh dan ada dua atau tiga pemain yang begitu pantas di bahagian serangan yang memberikan banyak masalah kepada kita.

“Keadaan padang juga memberikan masalah dengan lantunan bola. Ini bukanlah padang untuk bola sepak tetapi kita tidak dapat mengubahnya,” kata Kuljanac.

Terdahulu, jaringan daripada setiap babak oleh Bailey Wright dan Maxime Lestienne menghadiahkan kekalahan pertama buat KL City FC pada kempen ACC kali ini.

Kekalahan itu menyaksikan mereka tergelincir di tangga ketiga Kumpulan B dan hanya dua pasukan teratas akan mendapat tiket ke pusingan separuh akhir.

Namun Kuljanac masih optimis pasukannya mampu kembali bangkit dalam aksi seterusnya jika mendapat kekuatan penuh dengan kembalinya beberapa pemain daripada kecederaan.

sumber:-BH

“Kita masih ada peluang dan ada dua lagi perlawanan penting untuk kita selepas ini. Cuma kita perlu dapatkan kekuatan penuh kerana masalah kita ketika ini adalah isu kecederaan,” katanya.