sukan

“Ini bukan perlawanan bola sepak biasa”

DORTMUND, Jerman: Jurulatih England, Gareth Southgate berjaya membawa negara itu melangkah ke separuh akhir ketiga dalam empat kejohanan utama terakhir.

Bagaimanapun, kritikan terhadap skuad Three Lions yang dianggap mempamer aksi membosankan semakin meningkat menjelang pertemuan menentang Belanda pada separuh akhir, awal pagi Khamis ini.

Sekiranya England menamatkan penantian selama 58 tahun untuk memenangi trofi utama di Berlin, awal pagi Isnin ini, penyokong tidak akan berhenti mengkritik gaya pasukan atau kekurangannya serta ketidakupayaan barisan bintang penyerang untuk mewujudkan keterujaan penonton di seluruh benua.

Skuad bimbingan Southgate hanya menghasilkan lima percubaan tepat dalam tempoh 240 minit permainan menentang Switzerland dan Slovakia dalam dua pusingan sebelum ini yang menyaksikan mereka memerlukan penentuan penalti dan masa tambahan untuk mara.

Bekas penyerang England, Alan Shearer melabel pasukan itu “teruk” apabila bergelut untuk mengatasi Slovakia, manakala pemenang Euro 2000 dari Perancis, Emmanuel Petit, menyuarakan pendapat ramai peminat dan media nasional dengan melabelkan England “membosankan”.

Dimaklumkan pasukannya “tidak sedap dipandang” oleh seorang wartawan Jerman, Southgate tampil menjelaskan keadaan.

“Saya minta maaf untuk itu, tetapi niat kami adalah untuk selalu bermain dan mengawal bola dengan baik – dalam bola sepak anda mempunyai lawan yang cuba menghalang anda,” katanya selepas kemenangan ke atas Switzerland.

“Ini bukan perlawanan bola sepak biasa, ini adalah kejohanan antarabangsa dengan tekanan besar, dengan pemain muda di tengah-tengahnya.

“Pasukan kami berada di bawah tekanan yang luar biasa sejak awal. Mereka melakukan dengan sangat baik.”

Southgate berkata lawan England sering menggunakan formasi bertahan dan selain menyalahkan rumput di Jerman yang menjejaskan prestasi pemainnya.

“Kami tidak dapat menjaringkan banyak gol pada masa ini, tetapi kami bermain dengan tiga pasukan yang menurunkan lima pemain pertahanan, pertahanan yang tersusun,” katanya.

“Padang sedikit tidak rata jadi kadang-kadang anda memerlukan sentuhan tambahan dan kemudian ruang itu hilang. Tiada yang mudah, tetapi kami berada di separuh akhir ketiga dalam empat kejohanan.”

Selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan tewas dalam aksi final Euro 2020 menerusi penentuan penalti di tangan Itali, England memulakan kempen dalam kejohanan kali ini sebagai salah satu pasukan pilihan bersama Perancis.

Skuad Les Blues turut bergelut dengan prestasi tidak menentu tetapi berjaya mara ke separuh akhir untuk berdepan Sepanyol.

Southgate menjelaskan La Roja juga yang dilihat mempamer prestasi konsisten dalam kejohanan musim panas kali ini mengubah corak permainan mereka ketika menewaskan tuan rumah, Jerman di suku akhir.

sumber:-BH

“Ia bukan hanya mengenai bermain dengan baik – Sepanyol mencampuradukkan permainan mereka, mereka mendapat tujuh kad kuning, mereka menemui cara untuk menang,” kata jurulatih itu. – AFP