sukan

ini calon sesuai untuk mengisi kekosongan dua posisi tersebut

KUALA LUMPUR: Kehilangan dua pemain sayap terbaik negara iaitu Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi menyaksikan tumpuan harus kini terarah kepada pemain yang bakal menggalas tanggungjawab untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bagi menghadapi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Antara nama yang berpotensi untuk mengisi posisi terbabit bagi berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan adalah Safawi Rasid dan Akhyar Rashid berdasarkan reputasi mereka apabila beraksi di posisi terbabit bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon memberi bayangan dua pemain itu kemungkinan besar akan diturunkan namun barisan kejurulatihan turut memikirkan beberapa alternatif lain bagi mengharungi dua perlawanan penting itu.

“Saya rasa anda semua pun tahu. Kita tidak memiliki ramai pemain dan posisi itu mungkin diisi Safawi dan Akhyar.

“Tetapi Adib (Raop) pun boleh juga diberikan peluang. Dia pemain yang cukup menarik di mana kami sememangnya mencari pemain seperti ini yang memiliki kepantasan, kekuatan, agresif dan ‘endurance’.

“Dia sangat sesuai dengan falsafah permainan pasukan. Kita hanya perlu menunggu masa sesuai (melihat Adib menyerlah).

“Untuk dua tiga perlawanan musim ini (bersama Penang FC dalam Liga Super) dia bermain baik.

“Bagaimanapun, kadangkala mungkin pemain lain juga boleh diturunkan mengikut taktikal tetapi kita akan memanfaatkan tempoh masa yang ada ini untuk mencari pemain yang benar-benar sesuai bagi mengisi posisi terbabit,” kata Pan Gon.

Terdahulu, Pan Gon terpaksa melupakan khidmat Faisal selepas Penjaring Gol Terbaik Piala Asia itu disimbah asid, manakala Arif pula mengalami kecederaan buku lali.

Mengulas lanjut mengenai prestasi Safawi dan Akhyar yang berkelana bersama Terengganu FC (TFC), jurulatih dari Korea Selatan itu gembira dengan minit permainan yang dinikmati mereka namun itu tidak menjadi jaminan untuk kedua-duanya membarisi kesebelasan utama.

“Walaupun mendapat minit permainan tetapi mereka perlu menunjukkan persembahan yang terbaik kepada kami. Tetapi ini (minit permainan) memberi peluang untuk mereka menampilkan prestasi yang lebih baik.

“Cuma, mereka tetap perlu bersaing dengan pemain lain yang ada dalam pasukan ketika ini,” katanya.

Skuad negara ketika ini dalam rangka persiapan untuk Kelayakan Piala Asia 2026/ Piala Asia 2027 yang menyaksikan mereka akan berdepan pasukan di ranking ke-100 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun ini.

Mereka kemudiannya akan terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu pasukan di ranking ke-159 dunia, Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

sumber:-BH

Hanya dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.