SEPANG: Bukan setakat berdepan tunggakan gaji dan kegagalan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), KL City FC turut ‘berhutang’ dengan pihak yang sebelum ini menyatakan minat untuk menjadi pemilik baharu KL City FC.
Perkara itu didedahkan pengerusi dan pemilik pasukan Bukit Tambun FC, Datuk Razalif Mohamad Zain yang mendakwa beliau sudahpun melabur sebanyak RM1.25 juta apabila menawarkan diri untuk membeli KL City FC pada 2022.
“Saya memang ada terbabit dengan KL City FC tetapi ada beberapa perkara yang sudah berlaku. Kita tetap memberi sokongan kepada mereka tetapi sehingga ke hari ini, apa yang dijanjikan pun tidak dipulangkan lagi.
“Tetapi kita pun tidak mahu besar-besarkan cerita itu buat masa sekarang tetapi dalam masa terdekat, kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Bukit Tambun FC yang dijenamakan kepada Brotherkita Bukit Tambun FC terbang ke Dubai untuk menjalani sesi latihan dan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan berdepan kelab terkemuka Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Al-Bataeh, Kalba FC dan Royal FC.
Mengulas mengenai perkembangan pasukan, Razaliff meletakkan sasaran yang realistik kepada pasukan yang berentap dalam saingan Liga A1 Semi Pro apabila memburu kedudukan tiga teratas bagi musim ini.
“Kita akan membuat rombakan besar-besaran kira-kira 70 peratus pada jendela perpindahan kedua nanti. Mungkin kita akan mengambil pemain dari Liga Super juga kerana kita mahu sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan tiga terbaik.
sumber:-SH
“Kita memilih Dubai kerana saya pun ada perniagaan di sana jadi saya meminta rakan perniagaan saya untuk mengatur sesi kita di sana,” katanya.