Kuala Lumpur: “Ini bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan baharu buat saya untuk terus memberikan yang terbaik bersama Harimau Malaya”.
Demikian kata-kata penuh semangat bintang skuad Harimau Malaya, Faisal Halim yang mengakui syukur dan puas apabila dapat kembali menjaringkan gol di pentas antarabangsa selepas 623 hari kemarau jaringan.
Pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini hari ini, pemain sayap lincah itu mahu terus membantu pasukan negara dengan meledak seberapa banyak gol khususnya pada aksi menentang Laos di saingan Kelayakan Piala Asia 2027, malam esok.
Katanya, bukan mudah untuk dirinya bangkit menemui kembali sentuhan lama selepas terbabit dengan insiden simbahan asid pada awal Mei tahun lalu.
Oleh itu, Faisal atau Mickey menegaskan tanpa peluang yang diberikan oleh Peter Cklamovski, dia mungkin tidak akan berjaya bangkit daripada peristiwa hitam itu.
“Sudah hampir dua tahun dan kini saya kembali untuk mencari gol bersama pasukan kebangsaan.
“Saya sangat gembira kerana diberikan peluang oleh jurulatih untuk membuktikan saya masih mampu beraksi pada tahap terbaik.
“Saya bekerja keras untuk mencapai semula prestasi itu,” katanya yang meledak satu gol ketika membantu skuad Harimau Malaya menang 3-0 ke atas Laos di Vientiane, Khamis lalu.
Hasil semakan Arena Metro, kali terakhir Faisal menjaringkan gol bersama skuad negara adalah ketika aksi Piala Asia 2023 di Qatar.
Dalam perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub di Qatar pada 25 Januari 2024 lalu, Faisal meledak satu gol cantik ketika menentang skuad gergasi, Korea Selatan.
Gol berkenaan bukan saja cantik, malah hasil jaringan berkenaan menyaksikan Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 ketika lawan diperkuatkan ramai bintang bola sepak yang beraksi di Eropah termasuk Son Heung-min, Kim Min-jae dan Hwang Hee-chan.
Lebih manis, gol Faisal itu turut dipilih sebagai gol terbaik sepanjang saingan Piala Asia 2023 itu selepas menerima undian tertinggi daripada peminat dalam undian rasmi yang diadakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu.
Pemain Selangor FC kelahiran Pulau Pinang itu turut menzahirkan penghargaan kepada rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat dan sokongan sepanjang tempoh pemulihannya.
“Saya amat berterima kasih kepada rakan sepasukan yang tidak pernah berhenti menyokong dan memberi motivasi kepada saya.
“Apa yang boleh saya katakan, ini bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan baharu buat saya untuk terus memberikan yang terbaik bersama Harimau Malaya,” katanya.