sukan

Ini punca prestasi buruk Brazil

BRASILIA: Prestasi buruk Brazil di kejohanan utama berterusan selepas mereka tersingkir daripada Copa America, Ahad lalu.

Situasi itu menyebabkan peminat juara dunia lima kali itu mengaitkannya dengan teori ‘sumpahan kucing’ yang berlaku ketika sidang media Brazil pada tahun 2022.

Ia berlaku ketika Piala Dunia Qatar, apabila seekor kucing melompat ke atas meja semasa sidang media bersama Vinicius Jr.

Bintang Real Madrid itu menganggap ia sesuatu yang lucu, sebelum pegawai media Brazil mengangkat kucing berkenaan dan mencampaknya dari meja.

Perbuatan pegawai media berkenaan dikritik peminat. Sejak kejadian itu, Brazil sering tersingkir dan skuadnya dilanda kecederaan pemain-pemain utama sehingga Copa America tahun ini.

Peminat melabelkan situasi dihadapi skuad Brazil itu sebagai ‘Canarinha’, yang bermaksud ‘sumpahan kucing’.

Sejak sidang media pada Disember 2022 itu, Brazil mengalami lima situasi mengecewakan.

Beberapa hari selepas insiden mencampak kucing, Brazil tersingkir daripada Piala Dunia.

Ketika berdepan Croatia, Neymar meletakkan Brazil di depan dalam masa tambahan, tetapi Bruno Petkovic menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki tiga minit.

Dalam penentuan penalti, Croatia menang 4-2 dengan Rodrygo dan Marquinhos gagal menyempurnakan sepakan.

Kemudian pada Oktober tahun lalu, Neymar cedera di bahagian lutut kiri ketika menentang Uruguay.

Dia terlepas aksi bersama Al-Hilal dan bergelut untuk pulih menjelang Copa America pada musim panas ini.

Brazil seakan mendapat momentum ketika Piala Dunia Bawah 20 Tahun apabila membelasah Tunisia 4-1 di peringkat 16 terakhir tahun lalu.

Namun ia berakhir memalukan apabila mereka mensia-siakan kelebihan 2-1 untuk tewas 3-2 kepada Israel.

Brazil juga gagal layak ke Olimpik Paris selepas dikejutkan dalam pusingan kelayakan.

Kekecewaan terbaru Brazil ialah pada hujung minggu lalu apabila mereka tersingkir daripada Copa America di tangan Uruguay kendalian Marcelo Bielsa.

Selepas seri tanpa jaringan, Uruguay yang bermain 10 orang menewaskan Brazil 4-2 dalam penentuan penalti apabila Eder Militao dan Douglas Luiz gagal menyempurnakan sepakan.

sumber:-BH

Brazil kini hanya menjuarai satu daripada enam edisi terakhir Copa America dan mengharungi kemarau 22 tahun untuk gelaran Piala Dunia.