sukan

Isu Bantuan Kecemasan: Siapa bertanggungjawab bila nyawa dipertaruhkan?

KUALA LUMPUR: Kejadian membabitkan kematian bekas penjaga gol legenda Pulau Pinang, Firos Mohamed ketika aksi persahabatan pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ baru-baru ini membuka semula perdebatan mengenai tahap kesiapsiagaan perubatan di acara sukan.

Difahamkan, ada dakwaan tidak rasmi mengatakan wujud kelewatan dalam pemberian bantuan perubatan kecemasan kepada Allahyarham, mencetus persoalan sejauh mana penganjur benar-benar bersedia apabila nyawa menjadi taruhan.

Hal ini kerana, tular video di media sosial yang memaparkan isteri kepada bekas pemain kebangsaan Amar Rohidan yang bekerja sebagai jururawat yang kebetulan berada di tempat duduk penyokong terpaksa memanjat pagar sebelum berlari ke Allahyarham bagi memberikan bantuan awal.

Hal ini menimbulkan persoalan sama ada penganjuran acara seumpama itu bersedia daripada segala aspek kemungkinan termasuklah serangan jantung membabitkan pemain dan penyokong.

Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, walaupun kejadian tidak dapat dielakkan, tahap respons perubatan yang wajar perlu disediakan, terutama membabitkan acara fizikal lasak seperti bola sepak.

“Kalau perlawanan bawah kelolaan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), memang ada garis panduan daripada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) berkaitan bantuan perubatan. Tapi bagaimana pula dengan perlawanan persahabatan atau kejohanan kecil di peringkat komuniti?” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Menurutnya, pemilik premis seperti padang bola atau gelanggang badminton juga wajar memikirkan tanggungjawab mereka dalam aspek keselamatan. Soalnya, adakah mereka bersedia jika berlaku kecemasan perubatan?

“Mungkin nak wajibkan ada doktor di semua lokasi sukan itu tidak praktikal. Tapi sekurang-kurangnya staf tahu asas pertolongan cemas dan ada alat seperti mesin AED di lokasi,” katanya.

Nik Erman menambah, bagi penganjur acara pula, keperluan menyediakan bantuan perubatan bukan sekadar ‘asal ada’ tetapi seharusnya menjadi syarat wajib.

“Kalau acara rasmi, saya sering nampak ambulans dan doktor di lokasi. Tapi tak semua buat. Mungkin sudah sampai masa diwajibkan sekurang-kurangnya ada petugas terlatih pertolongan cemas di setiap acara sukan,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa meskipun kemalangan tidak boleh dielakkan, tindakan segera dan cekap dalam memberi bantuan mampu menjadi penentu antara hidup dan mati.

Insiden seperti ini wajar dijadikan sempadan dan lonjakan kepada semua pihak untuk tidak mengambil mudah soal bantuan kecemasan.

sumber:- HM

Nyawa tidak boleh diganti, dan keselamatan tidak boleh dikompromi.