KUALA LUMPUR: Kontroversi membabitkan pengadil terus ‘panas’ diperkatakan dan bukan sahaja di saingan liga profesional malah turut menular di saingan liga semi profesional.
Kontroversi terbaharu adalah insiden panas membabitkan perlawanan Liga A1 Semi Pro antara Machan FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berlangsung dalam suasana penuh ketegangan.
Kelab dari Sarawak itu mendakwa pengadil perlawanan, Mohd Izwan Abdullah bertindak di luar batas apabila dikatakan mencekik salah seorang pemain Machan FC ketika kekecohan tercetus di atas padang.
Menerusi Insta Story, pasukan itu meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan pengadil bertugas yang didakwa gagal mengawal emosi ketika mengendalikan perlawanan.
“Kami faham pengadil pun manusia. Ada emosi dan tekanan. Tapi boleh ke sampai cekik pemain? Machan FC player bukan manusia ke?
“Kami datang nak bermain bola. Bukan untuk diperlukan macam ini. Hormati permainan. Hormati pemain,” tulis kelab itu sambil memuat naik sekeping foto yang didakwa memaparkan insiden berkenaan.
Malah, pasukan itu juga tampak tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan Izwan selepas dua kad merah dilayangkan kepada pemain mereka.
“Hanya Machan yang mengutip kesemua kad termasuk dua kad merah yang dilayangkan.
“Satu kad merah diterima hanya kerana bertanya soalan ‘mengapa hanya tiga minit masa tambahan’.”Adakah ini adil? Mungkin tidak. Tetapi, kami tidak berhenti dan kami tidak akan mengalah.”Kami berjuang sehingga wisel penamat,” katanya.