KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya menerima dua aduan rasmi daripada pemain membabitkan isu tunggakan gaji.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan aduan terbabit adalah daripada pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC yang diterima menerusi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Beliau menjelaskan, pihaknya tidak menerima aduan lain meskipun terdapat dakwaan banyak pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang dibelenggu masalah tunggakan gaji.
“Jika mengikut aduan rasmi, kita hanya menerima dua saja daripada pemain KDA FC manakala membabitkan pasukan lain tiada.
“FAM memandang serius masalah tunggakan gaji dan berharap pemain atau jurulatih tampil membuat aduan rasmi supaya tindakan susulan dapat diambil.
“Aduan rasmi penting untuk pihak berkaitan menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan. Jika tiada aduan, sukar untuk kita mengetahui situasi sebenar yang melanda pasukan itu,” katanya.
Sebelum ini, terdapat dakwaan beberapa pasukan termasuk yang memiliki nama besar dalam kancah Liga Super berdepan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.
sumber:-BH
Isu tunggakan gaji dilihat sudah menjadi barah dalam saingan Liga M apabila setiap tahun peminat disajikan dengan masalah sama dan penyakit itu dilihat semakin parah musim ini.