Itulah perkara yang saya nanti-nantikan – Jonassen

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen mencabar barisan pemain perseorangannya untuk menyumbang mata dalam acara berpasukan Sukan Sea Thailand yang akan bermula Ahad ini.

Jonassen berkata, realiti semasa menyaksikan tumpuan dan tekanan kini lebih terarah kepada perseorangan negara untuk menghadiahkan mata penting, memandangkan acara beregu dibarisi gandingan mantap sekali gus dilihat tidak berdepan masalah mengutip mata.

“Memang benar mereka diperlukan untuk memenangi sebarang perlawanan acara perseorangan. Saya menyaksikan perlawanan Piala Thomas sebelum ini ketika saya berada bersama pasukan lawan.

“Saya lihat (ketika itu) pemain perseorangan Malaysia lebih dianggap sebagai underdog. Tapi kali ini, jangkaan jauh lebih tinggi dan itu bermakna tekanan untuk mereka beraksi dengan baik memang besar,” katanya.

Menurut jurulatih dari Denmark itu, tekanan itu sendiri menjadi ujian sebenar untuk melihat sejauh mana kekuatan mental serta keyakinan dalaman pemain ketika beraksi di saingan utama.

“Itulah perkara yang saya nanti-nantikan. Saya nak cabar mereka dan tengok macam mana pemain perseorangan negara berdepan situasi seperti itu.

“Sebab itu saya sangat teruja untuk Sukan Sea kali ini. Saya percaya, anda akan dapat mengenali pemain anda lebih baik apabila mereka berada di bawah tekanan maksimum.

“Masa itulah keyakinan dalaman yang sebenar sepatutnya dikeluarkan dan dari situ saya boleh bekerjasama untuk terus memperbaiki permainan mereka pada masa depan. Saya memang teruja untuk lihat pemain-pemain saya dapat peluang ini,” katanya.

Untuk rekod, barisan perseorangan negara tidak menampilkan prestasi memberangsangkan sepanjang musim ini dan berdepan kesukaran mencari rentak konsisten di peringkat antarabangsa.

Empat pemain yang akan menggalas cabaran di Sukan Sea Thailand ialah Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.