sukan

Izzuddin-Sze Fei kaut RM1.77 juta

KUALA LUMPUR: Musim 2024 menjadi musim yang penuh gemilang dalam kerjaya beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Pelbagai kejayaan dilakar mereka yang bakal mengambil alih takhta selaku beregu lelaki nombor satu Malaysia daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjelang kemaskini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Selasa ini.

Kejayaan muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF, semalam bakal menyaksikan kedudukan ranking dunia mereka melonjak daripada tangga ketujuh ke kedudukan ketiga.

Ia sekali gus akan memintas kedudukan Aaron-Wooi Yik yang dijangka jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam.

Selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu pada awal musim ini, Izzuddin-Sze Fei menunjukkan peningkatan yang ketara bermula Ogos lalu.

Semuanya bermula selepas mereka berjaya muncul juara Terbuka Jepun yang menjadi hadiah perpisahan sebelum meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional.

Sejak itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang apabila berjaya menjuarai dua lagi gelaran dalam saingan Jelajah Dunia iaitu Terbuka China dan Terbuka Artik.

Terbuka China menjadi kejayaan terbesar mereka apabila kali pertama mengungguli kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Dengan kejayaan itu, mereka turut menjadi beregu lelaki Malaysia pertama yang berjaya melengkapkan semua koleksi kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia daripada Super 100 hingga Super 1000.

Izzuddin-Sze Fei mungkin tidak mendapat penamat musim yang dimahukan apabila terpaksa akur muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF selepas tewas di tangan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark tetapi pencapaian mara ke final menyaksikan mereka mencipta sejarah menjadi beregu lelaki pertama Malaysia berbuat demikian sejak kejohanan diperkenalkan pada 2018 bagi menggantikan Siri Super Akhir BWF.

Apa yang lebih menarik, mereka menjadi antara pemain negara yang mengaut hadiah wang kemenangan paling tinggi musim ini.

Secara keseluruhannya, Izzuddin-Sze Fei mengumpul kira-kira RM1.77 juta daripada 16 kejohanan sepanjang musim ini.

Hadiah wang tunai tertinggi diraih mereka adalah ketika menjuarai Terbuka China iaitu sebanyak AS$148,000 (RM659,765) diikuti AS$100,000 (RM445,792) selepas muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir, semalam.

sumber:-BH

Sebagai pasangan profesional, hadiah kemenangan yang dikumpul itu pastinya membantu mereka untuk melancarkan urusan perjalanan kerjaya mereka selain memberi motivasi untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan.