KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mengejutkan juara Olimpik Paris 2024, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, sebentar tadi.
Izzuddin-Sze Fei menampilkan persembahan terpuji untuk melakar kemenangan 24-20, 21-12 dalam tempoh 42 minit dalam aksi terakhir Kumpulan A di Gimnasium Olimpik Hangzhou.
Kemenangan itu membolehkan pasangan nombor tujuh dunia berkenaan mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan kedua di belakang gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang muncul juara kumpulan.
Sze Fei berkata, mereka gembira dapat menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dan lebih istimewa berpeluang bermain menentang Lee Yang-Chi Lin sebagai gandingan buat kali terakhir.
Lee Yang sebelum ini mengumumkan akan bersara sebaik tamat saingan Jelajah Dunia Akhir tahun ini.
“Kami sangat menghargai peluang terakhir bermain menentang legenda (Lee Yang-Chi Lin), banyak perkara yang kami belajar daripada mereka.
“Lee Yang adalah antara rakan baik saya, idola dan salah seorang legenda dalam badminton,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Izzuddin berkata, mereka berbangga dapat melayakkan diri ke separuh akhir tetapi menegaskan masih banyak yang perlu diperbaiki bagi menghadapi aksi kelompok empat terbaik.
sumber:-BH
“Kami perlu kekal fokus. Kami perlu lebih konsisten dan cuba untuk tidak memberikan mata mudah kepada pihak lawan,” katanya.