KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terus mencipta sensasi dengan menjadikan pasangan ranking dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark sebagai ‘mangsa’ selepas merangkul gelaran juara Terbuka Artik di Vantaa, Finland, hari ini.
Pada aksi final yang berlangsung di Vantaan Energia Areena itu, Izzuddin-Sze Fei bagaimanapun sekali lagi dipaksa bekerja keras selepas diheret dalam perlawanan tiga set sebelum menang.
Diletakkan pilihan kelima kejohanan berstatus Super 500 itu, Izzuddin-Sze Fei terus dipaksa mencipta kebangkitan apabila tewas pada set pertama 15-21.
Terdesak memburu kemenangan, pasangan ranking lapan dunia itu memperkemaskan permainan dan berjaya menang 21-15 pada set kedua.
Dan seperti sudah ‘panas’, pasangan itu melenyapkan cabaran Astrup-Skaarup pada set ketiga dengan kemenangan 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung sejam 12 minit.
Kejayaan menjuarai Terbuka Artik jelas bukan sahaja akan memperbaiki kedudukan ranking Izzuddin-Sze Fei, namun turut ‘menebalkan’ poket mereka dengan membawa hadiah wang kemenangan membawa pulang hadiah kemenangan RM142,282.
sumber:-BH
Ia juga kejayaan ketiga mereka bagi musim ini selepas muncul juara Terbuka Jepun dan Terbuka China.