sukan

Jadual aksi Liga Perdana Inggeris ‘bocor’

LONDON: ‘Jadual bocor’ aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang memaparkan perlawanan hari pembukaan musim 2025-26 tular di media sosial semalam, namun peminat pantas mengesan beberapa kejanggalan yang menimbulkan keraguan terhadap ketulenannya.

Senarai tidak rasmi itu menyenaraikan perlawanan seperti juara bertahan Liverpool menentang Brighton, Tottenham Hotspur menentang Manchester United, Leeds United bertemu Arsenal dan Newcastle United pula didakwa akan menentang Manchester City di laman sendiri (St James’ Park).

Namun, penyokong EPL pantas menyedari beberapa fakta tidak tepat dalam senarai itu, termasuk Newcastle bermain di laman sendiri sedangkan Stadium St James’ Park tidak boleh digunakan kerana menjadi venue Kejohanan Ragbi Dunia Wanita pada hari yang sama.

Lebih mencurigakan, perlawanan derbi panas Tyne-Wear antara Newcastle dan Sunderland dikatakan berlangsung pada Boxing Day, satu tarikh yang biasanya dielakkan oleh pihak penganjur kerana keperluan kawalan keselamatan yang ketat.

Pengguna media sosial turut mempersoalkan bagaimana Liverpool boleh disenaraikan dua kali berdepan Nottingham Forest di laman sendiri.

Sehingga kini, EPL belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kesahihan jadual berkenaan.

Jadual rasmi EPL musim 2025-26 dijadualkan diumumkan pada Khamis , 19 Jun jam 9 pagi waktu UK (bersamaan 4 petang waktu Malaysia). – AGENSI