sukan

Jangan buat andaian

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) menyarankan orang ramai tidak membuat andaian atau spekulasi mengenai insiden kediaman pemain pertahanan Gergasi Merah, Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk, kelmarin.

Sebaliknya, SFC dalam satu kenyataan menjelaskan kes berkenaan harus diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan sebaiknya.

Menurut kelab itu, mereka mengambil maklum berkenaan insiden pecah rumah yang menimpa Khuzaimi dan laporan polis sudah dibuat.

“Insiden itu menyebabkan Khuzaimi mengalami kerugian harta benda, namun dia dan keluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Pihak kelab kecewa dengan apa yang berlaku dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk jenayah di negara ini.

“Kami mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Khuzaimi dan keluarganya serta diharap pelaku dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” menurut SFC dalam kenyataan itu.

Menerusi laporan BH semalam, Khuzaimi yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport dalam insiden itu.

Susulan itu, Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pihaknya akan membantu pemain dan pegawai kelab dalam menjamin keselamatan mereka.

sumber:-BH

“Nasib baik, Khuzaimi tiada di rumah ketika kejadian pecah masuk itu berlaku. Kami akan menyokong dan membantunya dalam apa jua kapasiti yang mampu,” katanya.