sukan

‘Jangan fikir benda tiada depan mata’

KUALA LUMPUR: Pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mendedahkan dua pemain baharu, Wan Kuzain Wan Kamal dan Mats Deijl semakin hampir menyertai skuad kebangsaan jelas mengujakan pelbagai pihak.

Namun pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente enggan terlalu memikirkan ‘benda yang tiada’ di depan matanya dan dia lebih meletakkan fokus untuk membangunkan pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat ketika ini.

Jelas bekas pengendali skuad remaja Barcelona itu, mereka sentiasa bekerja keras untuk mengenal pasti ramai pemain berpangkalan di luar negara tetapi masih memiliki salasilah keturunan Malaysia sekali gus berpotensi mewakili Harimau Malaya.

“Kita ada senarai panjang nama pemain warisan yang memiliki pilihan untuk beraksi dengan Malaysia. Namun, sekarang bukanlah masa yang sesuai buat saya komen mengenai peribadi mereka.

“Sekiranya sudah pasti nanti, barulah saya akan bercakap mengenai mereka. Cuma, saya boleh sahkan bahawa kami sentiasa meneliti dan mencari pilihan (pemain warisan) sekiranya ada.

“Buat masa sekarang, lebih baik kita fokus dengan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk mengharungi Pestabola Merdeka kali ini,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Sebagai rekod, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan Wan Kuzain dan Deijl berpotensi besar untuk memperkuat skuad kebangsaan pada masa akan datang.

sumber:-BH

Hamidin berkata, Deijl yang ketika ini beraksi bersama Go Ahead Eagles di Eredivisie menghubungi Pau Marti dan sudah menyatakan hasrat dan kesediaan untuk bersama skuad Harimau Malaya.