sukan

Jangan tangisi benda dah lepas, Fokus aksi berdepan Vietnam

Kekecewaan gagal ke final sudah diterima, kini Tan Cheng Hoe mahu Harimau Malaya segera bangkit dengan fokus beralih kepada satu misi terakhir, menewaskan Vietnam dalam penentuan tempat ketiga dan keempat Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Isnin ini.

Walaupunn kemenangan 6-0 ke atas Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis lalu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke final, Cheng Hoe melihat keadaan pasukannya ketika ini dari sudut yang lebih positif.

Malah, pengendali interim Harimau Malaya itu percaya tiga aksi terakhir memberikan gambaran jelas mengenai kemampuan anak buahnya, terutama dari segi ketahanan pertahanan dan keupayaan menghasilkan jaringan.

“Saya rasa kita perlu terima hakikatlah kita tidak layak ke final. Tetapi yang penting adalah tiga perlawanan yang lepas kita bermain dengan begitu baik, kita mampu mempertahankan gawang gol kita dan juga kita mampu menjaringkan begitu banyak gol.

“Itu satu petanda baik untuk pasukan kebangsaan dan juga kita perlu teruskan seperti mana yang saya bagi tahu, perjalanan kita kena fokus ke hadapan, kita kena pandang ke hadapan,” katanya.

Nada Cheng Hoe itu sekali gus menggambarkan tumpuan utama pasukan ketika ini bukan lagi mengenai apa yang berlaku dalam perebutan tiket final, sebaliknya bagaimana pemain memastikan kempen mereka tidak berakhir dengan rasa kecewa.

Malaysia kini mempunyai tempoh beberapa hari untuk memulihkan tenaga dan mental sebelum kembali beraksi di GBK, venue yang menyaksikan Harimau Malaya mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia dalam aksi kedua kumpulan, 28 September lalu.

Vietnam pula hadir sebagai lawan terakhir selepas menamatkan saingan kumpulan dengan dua kemenangan dan satu kekalahan, termasuk kemenangan 4-2 ke atas Pakistan dalam aksi terakhir di GBK, semalam.

Pertemuan itu juga memberi peluang buat Harimau Malaya memperbaiki semula keputusan apabila mereka sebelum ini tewas 0-2 kepada Vietnam pada separuh akhir kedua Kejohanan ASEAN di Hanoi, Ogos lalu.

Bagi Cheng Hoe, apa yang penting sekarang ialah keyakinan pemain tidak terjejas hanya kerana mereka gagal mencapai sasaran ke final.

“Kita yakin dengan kemampuan kami, untuk perlawanan akan datang kita juga inginkan satu keputusan yang positif untuk pasukan kami juga,” katanya.

Mengikut rekod, Malaysia akan menentang Vietnam pada jam 5 petang waktu Malaysia di GBK, Isnin ini bagi menentukan pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026.

Aksi itu kemudian disusuli final antara tuan rumah Indonesia dan Thailand pada jam 9 malam waktu Malaysia di venue sama.