sukan

Jangan terlalu memaksa, biar Azeem buat keputusan sendiri

KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) merayu agar semua pihak tidak terus membesar-besarkan isu membabitkan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berhubung penyertaannya ke Sukan Sea, Thailand hujung tahun ini.

Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan memaksa mana-mana atlet termasuk Azeem untuk menyertai kejohanan antarabangsa sekiranya mereka mempunyai komitmen lain atau terikat dengan tanggungjawab akademik.

“Kami difahamkan bahawa Azeem kini ada komitmen dengan universiti. Jadi, MA akan menerima setiap keputusan yang terbaik untuk kepentingan sukan olahraga Malaysia.

“Kami tidak akan memaksa mana-mana atlet pecut negara. Azeem sudah matang, biar dia buat keputusan sendiri demi masa depannya dan juga untuk kebaikan jangka panjang,” kata Karim.

Beliau turut meminta supaya orang ramai tidak meletakkan tekanan ke atas Azeem, sebaliknya memberi ruang kepada atlet berkenaan untuk fokus kepada pelajaran serta perancangannya sendiri.

“Saya merayu kepada semua pihak, tolong jangan membesar-besarkan isu ini. Biarlah Azeem diberi ruang. Ini bukan perkara baharu kerana sebelum ini pun ramai atlet negara yang melanjutkan pelajaran di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Eropah, pernah melalui situasi sama.

“Kadangkala mereka tidak dapat menyertai kejohanan kerana bertembung dengan peperiksaan atau tugasan universiti. Itu adalah perkara biasa,” katanya lagi.

Terdahulu, Azeem dikatakan masih belum membuat keputusan sama ada akan menyertai temasya dwitahun itu.

Namun, pelari berasal dari Teluk Intan Perak itu akan beraksi di Terbuka India di Odisha Ahad ini.