sukan

Jangkaan Jonassen aksi Jun Hao berdepan Lanier

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menjangkakan anak didiknya, Leong Jun Hao bakal berdepan tugas getir bertemu sensasi Perancis yang juga juara bertahan, Alex Lanier pada pusingan pertama Terbuka Jepun, esok.

Justeru pengendali dari Denmark itu berharap Jun Hao tahu bagaimana untuk membaca gaya permainan pantas lawannya di ranking ke-16 dunia itu, yang bakal ditemui buat kali pertama.

“Lanier adalah pemain yang bagus. Gaya permainannya sedikit berbeza daripada apa yang pernah kami lihat setakat tahun ini.

“Dia tidak memberi banyak peluang kepada lawan dan bermain dengan cukup pantas serta mempunyai pukulan kuat.

“Jadi, ia akan menjadi satu cabaran untuk Jun Hao menggunakan taktikal yang betul. Kami tahu sedikit sebanyak venue pertandingan di Jepun dan biasanya (kelajuan bola) agak perlahan.

“Lanier menunjukkan prestasi baik di sana (pada tahun lalu) apabila meraih kejayaan.

“Secara keseluruhan ia adalah cabaran baik untuk Jun Hao mencari jalan bagaimana untuk mengatasi aspek fizikal dan gaya permainan Lanier serta mengawal keadaan pergerakan bulu tangkis yang perlahan,” katanya.

Jonassen berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin membantu Jun Hao untuk memastikannya meraih kemenangan pertama, sekali gus cuba melangkah sejauh mungkin di kejohanan bersatus Super 750 itu.

Jun Hao akan turun selaku wakil tunggal perseorangan lelaki negara selepas Lee Zii Jia menarik diri manakala Ng Tze Yong baru sahaja selesai menjalani pembedahan lutut di Doha, Qatar.

Lanier muncul juara Terbuka Jepun tahun lalu selepas menewaskan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen pada aksi final selain mara sehingga ke separuh akhir Seluruh England, Mac lalu.

sumber:- HM

Jun Hao yang menduduki ranking ke-24 dunia sering tersingkir awal pada kejohanan yang disertainya tahun ini, kecuali di Terbuka Singapura, Mei lalu yang menyaksikannya mara sehingga ke suku akhir.