KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi masih belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatannya atau tidak.
Mohd Yusoff bagaimanapun menjelaskan beliau bersedia untuk bertanding pada kongres pemilihan badan induk itu yang akan berlangsung Februari depan sekiranya mendapat sokongan daripada ahli gabungan.
Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL) itu berkata, beliau ketika ini masih mengadakan perbincangan dengan ahli gabungan dan ada masa kira-kira dua bulan sebelum membuat keputusan muktamad.
“Saya masih lagi di peringkat perbincangan dengan ahli gabungan, ia kerana yang akan menentukan kedudukan dalam FAM nanti adalah ahli gabungan.
“Saya pun tidak tahu, mungkin ahli gabungan nak berubah rasa, nak cari Timbalan Presiden baharu, jadi kena tengok-tengok dulu.
“Saya sejak 2013 dalam FAM sebagai Exco dan dua penggal sebagai Timbalan Presiden, jadi saya fikir ahli gabungan bijak membuat penialian. Kalau mereka fikir saya masih lagi perlu berada di sana, saya bersedia,” katanya.
Status mengenai perebutan jawatan penting dalam badan induk itu menjadi tanda tanya selepas Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya.
Hamidin membuat keputusan itu kerana mahu memberi peluang kepada muka baharu untuk memimpin FAM ke tahap yang lebih tinggi.
sumber:-BH
Kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu FAM untuk penggal 2025-2029 bakal berlangsung pada 15 Februari depan.