JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama apabila berdepan PDRM FC pada aksi pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Pengendalinya, Xisco Munoz, berkata beberapa pemain baharu yang menyertai Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua awal bulan ini akan diberi peluang beraksi menentang skuad kendalian Eddy Gapil dalam langkah pertama mempertahankan piala berprestij itu.
“Ia perlawanan berbeza berbanding saingan Liga Super dan kami jangkakan satu perlawanan sengit kerana semua pasukan mengidam untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.
“Apa yang perkara kami perlu lakukan adalah meneruskan kesinambungan corak permainan berintensiti tinggi malah kami akan lihat keperluan melakukan penggiliran pemain.
“Semua pemain perlu ambil peluang untuk berada dalam kesebelasan utama kerana mereka sentiasa berkerja keras dalam sesi latihan dan kami perlu memahami kemahuan pemain yang mahu berada dalam skuad utama,” katanya.
Pemain baharu yang dibawa masuk skuad Harimau Selatan adalah tiga tenaga import Yoga Cesar, Marcos Guilherme dan Rui Felipe yang masih belum diturunkan selain dua pemain tempatan, Stuart Wilkin dan Syamer Kutty Abba.
Apa pun pengendali kelahiran Sepanyol itu menegaskan dalam permainan bola sepak tidak wujud definisi sudah sempurna, sebaliknya sentiasa perlu diperkemaskan rentak permainan bagi memastikan apa jua pendekatan taktikal mampu diterjemahkan.
“Setiap hari kami harus memperbaiki corak permainan kerana tiada istilah pasukan yang berada dalam keadaan sempurna dan lima pemain baharu yang berada dalam pasukan JDT perlu mencapai statistik dengan pemain yang ada sekarang,” ujar Munoz.