JOHOR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengidam untuk meneruskan momentum kemenangan apabila melayani kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi kedua saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Ketua jurulatih Harimau Selatan, Xisco Munoz menegaskan kejayaan menewaskan Selangor FC 3-0 pada aksi sumbangsih bagi mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kelapan berturut-turut menguatkan lagi mental pemain bagi meneruskan rentak kemenangan.
Katanya, pasukan NSFC menjalani transformasi dengan membawa masuk beberapa pemain baharu sama ada pemain tempatan dan import dan ia pasti bakal memberi saingan kepada JDT dalam pertembungan aksi liga nanti.
“Sama ada akan berlaku penggiliran pemain bagi aksi menentang Negeri Sembilan masih belum diputuskan lagi tatkala belum pasti status kecederaan Samuel (Castillejo) yang terpaksa dikeluarkan selepas hanya beraksi selama 25 minit ketika menentang Selangor.
“Mengenai formasi yang bakal diterapkan menentang Negeri Sembilan, apa yang boleh saya katakan, kami akan kekalkan corak permainan pantas dan sentiasa melakukan transisi umpanan dengan menggerak bola dan memperkemaskan set piece yang dirancang.
“Kami dibarisi pemain berkualiti dan sudah tentu saya menuntut mereka memberi persembahan terbaik sepanjang perlawanan itu nanti kerana tiga mata di gelanggang sendiri tidak boleh dilepaskan malah setiap sesi latihan yang diadakan, kami bertungkus lumus untuk membuat persediaan bagi setiap pemain berada di tahap memuaskan,” katanya.
Bekas pengendali kelab Liga England, Watford dan Sheffield Wednesday menambah selepas mengharungi satu proses dalam perlawanan berkompetitif maka tiba masanya untuk membentuk satu lagi proses yang lebih mantap dengan memberi segala-galanya malah ia penting untuk memahami kehendak pemain bagi kelancaran pendekatan taktikal yang dibentuk.
Jelas Munoz, apa yang perlu dilakukan ketika menentang skuad kendalian Nidzam Jamil sudah tentu bermain dengan rentak permainan berintensi tinggi dan mengekalkan penguasaan perlawanan selain bertindak pantas menutup ruang bagi mengelak pasukan lawan menguasai permainan.
“Pasukan mana yang kami akan hadapi pasti akan berdepan kesukaran dan kami menghormati Negeri Sembilan yang akan beraksi perlawanan pertama liga dan sudah tentu mereka ingin buktikan sesuatu dan kami perlu bersedia dengan permainan konsisten,” ujar Munoz.