KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke final Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut, gergasi bola sepak tempatan itu kini hanya selangkah untuk mencipta satu lagi rekod baharu iaitu ‘hatrik quadruple’.
Selepas memenangi empat trofi dalam dua musim berturut-turut sebelum ini, hanya tinggal dua trofi untuk direbut skuad bimbingan Hector Bidoglio yang sudahpun menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Piala FA musim ini.
Malah, mereka juga berada pada laluan tepat dan selesa untuk memenangi kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut apabila mendahului saingan liga dengan 13 mata meninggalkan pencabar terdekat, Selangor FC (SFC) di tangga kedua.
Melihat kepada perkembangan terkini pasukan itu, apakah perkara yang mampu menghalang JDT daripada sekali lagi menyapu bersih semua trofi yang ditawarkan untuk pasukan utama bagi musim 2024/25?
Mengulas mengenai perkara itu, legenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman menegaskan satu-satunya perkara yang dapat menghalang JDT daripada memenangi dua lagi trofi pada musim ini adalah JDT sendiri.
“Kalau kita lihat sekarang, susah untuk kita nafikan JDT berpeluang besar untuk menjadi juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut dan hanya satu lagi perlawanan tinggal untuk mereka memenangi Piala Malaysia.
“Jadi dalam hal ini, perkara yang mampu menghalang JDT daripada menang adalah mereka sendiri. Contohnya sekiranya mereka mula selesa dengan kedudukan terkini sehingga bermain dengan sambil lewa ataupun tidak memberikan fokus sepenuhnya, terlalu yakin menentang pasukan lawan.
“Cuma tengok daripada persiapan sekarang, kita tahu perkara itu (bermain sambil lewa) tiada dalam kamus mereka sebab apabila mereka turun (beraksi), mereka akan memberikan 100 peratus tanpa mengira lawan mereka.
“Maknanya mereka tidak anggap kalau pasukan ini kuat, mereka kena bagi 100 peratus, kalau lawan pasukan lemah, mereka bermain ala-kadar. Semuanya dilayan sama rata dan JDT tiada belas kasihan untuk memenangi perlawanan mereka.
sumber:-BH
“Mereka tidak akan berpuas hati sekiranya menurunkan kualiti permainan menentang lawan yang berbeza-beza. Jadi sebab itulah kita nampak kemajuan demi kemajuan dalam JDT sehingga meraih pelbagai kejayaan sehingga ke hari ini,” katanya.