sukan

JDT di petak depan rangkul Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Meskipun keputusan dalam sesuatu perlawanan hanya ditentukan di atas padang namun di atas kertas, penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya turun sebagai pasukan pilihan pada aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Situasi itu diakui pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus yang melihat skuad bimbingan Hector Bidoglio itu berada dalam kelas tersendiri apatah lagi mereka berada dalam prestasi terbaik dan sudahpun menjuarai tiga trofi domestik setakat ini.

“Boleh dikatakan 90 peratus Piala Malaysia sudahpun berada dalam genggaman mereka. Kita tidak tahu daripada sudut mana yang boleh kita lihat untuk mengekang mereka daripada mendapat piala keempat musim ini.

“Peluang merangkul empat trofi bagi tiga musim berturut-turut juga bakal menjadi motivasi terbaik untuk mereka. Saya rasa semua orang pun setuju kalau kita katakan bahawa JDT lah (akan menang Piala Malaysia), tiada pasukan lain,” kata Fauzi.

Fauzi berkata demikian ketika temu bual dalam Podcast Borak Harini yang dikendalikan moderator, Asrizal Aris dan disiarkan di laman YouTube Berita Harian Online, hari ini.

Setakat ini, skuad Harimau Selatan sudahpun menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA dan juga kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.

Bagaimanapun, Fauzi berpandangan perlawanan final ini adalah ‘ball game’ yang berbeza dan prestasi Sri Pahang FC (SPFC) yang dilihat kurang konsisten dalam Liga Super tidak sepatutnya menjadi pengukur untuk kemampuan mereka pada final nanti.

“Ini adalah perlawanan terakhir dalam kalendar bola sepak kita, jadi kita harapkan pemain SPFC dapat mencipta kejutan untuk menidakkan kemaraan JDT. Kita pun tahu JDT tidak akan biarkan SPFC begitu sahaja.

sumber:- BH

“Sudah pasti barisan kejurulatihan SPFC diketuai Fandi Ahmad akan mengatur strategi terbaik dalam usaha menyekat JDT nanti,” katanya.