sukan

JDT dijangka tiada masalah berdepan DPMM

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak berdepan masalah untuk meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Apa yang menjadi persoalan ketika ini adakah kelab dari Brunei itu akan menjadi mangsa amukan terbaharu Harimau Selatan selepas anak buah Xisco Munoz merekodkan kemenangan besar dalam tiga aksi terakhir mereka di pentas Liga Super termasuk membelasah Penang 6-0, Sabah 8-0 dan PDRM 7-0.

Masih segar dengan kejayaan meraih kemenangan pertama di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan Chengdu Rongcheng 2-0, Selasa lalu, JDT sudah pasti mahu meneruskan momentum cemerlang dan turun dengan motivasi terbaik.

JDT ketika ini mengumpul 21 mata dengan memenangi semua tujuh perlawanan sebelum ini dan ia memberi gambaran jelas betapa peluang sukar dihadapi DPMM untuk mencuri mata dari gelanggang Harimau Selatan.

Malah, berdasarkan prestasi sepanjang Liga Super musim ini, skuad kendalian Jamie McAllister boleh dianggap memerlukan keajaiban walaupun mengidamkan keputusan seri dengan anak buah Munoz sudah pasti enggan tercicir mata untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga.

Selain aksi itu, pertembungan Kuching City dan Penang di Stadium Negeri, Kuching juga menarik untuk disaksikan dengan skuad The Cats dilihat memiliki kelebihan untuk meneruskan rentak kemenangan.

Kuching City memperagakan aksi memberangsangkan musim ini apabila merekodkan empat kemenangan, satu seri dan hanya tewas sekali iaitu kepada JDT dalam enam perlawanan yang diharungi mereka dalam liga setakat ini.

Kemenangan ke atas Penang bakal memberi impak besar terhadap skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu yang mana mereka berpeluang memintas Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City untuk berada di tangga kedua.

Selain berkelebihan beraksi di halaman sendiri, Kuching City juga dilihat berada pada prestasi dan motivasi terbaik selepas kejayaan menewaskan TFC 4-1 di gelanggang lawan dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu.

Satu lagi aksi yang akan berlangsung malam esok adalah pertembungan dua pasukan pertengahan liga, Negeri Sembilan yang akan melayan kunjungan PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kedua-dua pasukan itu berada dalam prestasi tidak menentu dengan Negeri Sembilan perlu segera bangkit selepas tewas dua aksi terakhir mereka termasuk tunduk 1-2 kepada Penang dalam aksi liga dan dibelasah Selangor 4-0 pada aksi pertama suku akhir Piala FA.

Namun, bukan hanya Negeri Sembilan, PDRM juga akan turun dengan membawa misi sama untuk mencari penawar luka mereka selepas dibelasah JDT 7-0 dalam aksi liga, awal bulan ini.

Berdasarkan rekod pertemuan musim ini, Negeri Sembilan pernah membelasah PDRM 5-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Paroi, Ogos lalu, sebelum tewas 0-1 kepada The Cops pada aksi kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.