sukan

JDT hadapi ujian sukar berdepan TFC

JOHOR BAHRU: Ujian getir menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila melayani kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Walaupun masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang lima perlawanan liga, namun JDT yang dibimbing Hector Bidoglio harus berwaspada dengan corak permainan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner

Malah Steinbruckner juga mengimpikan untuk kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan dan pastinya skuad Peteh itu akan turun habis-habisan dalam usaha mengejutkan Harimau Selatan.

Bidoglio bakal mempertaruhkan kesebelasan terbaik bagi memastikan momentum kemenangan tidak terjejas dan mengekalkan kedudukan tangga teratas liga.

“Kami akan berdepan satu lagi tugas mencabar apabila melayan kunjungan pasukan yang sedang berada pada prestasi terbaik dalam saingan liga. Namun, kami perlu mengekalkan aksi permainan intensiti tinggi dalam pertembungan itu nanti.

“Kami akan mempertingkatkan lagi keupayaan tatkala beraksi di laman sendiri dan sokongan padu daripada penyokong amat ditagih bagi menambahkan kekuatan apabila beraksi di padang kerana pemain ke-12 kami akan menyemarakkan lagi semangat juang di padang,” katanya

Justeru, pengendali kelahiran Argentina itu bakal menaruh sandaran kepada penyerang prolifik, Bergson Da Silva untuk mengemudi jentera serangan dan kemungkinan Fernando Forestieri yang tampak pulih daripada kecederaan akan berada dalam kesebelasan utama.

Kelibat Arif Aiman Hanapi yang sering memberi impak dalam corak permainan skuad Harimau Selatan diharap mampu menjelmakan keputusan positif tatkala bakal beraksi di posisi sayap kanan dan di bantu sama ada Matthew Davies atau Shahrul Saad yang akan bermain di posisi bek kanan.

Bidoglio juga menegaskan latihan berterusan dengan memperkemaskan lagi ‘set-piece’ amat penting bagi menghadapi pasukan lawan selain beraksi dengan lebih dinamik.

sumber:-BH

“Kami sentiasa bekerja keras sepanjang latihan dan ia perlu bagi mempertingkatkan lagi kemampuan kami dari hari ke hari untuk menjadi lebih baik,” katanya.