sukan

JDT kenduri Gol di SSI belasah Sabah

ISKANDAR PUTERI: Kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut semakin menggamit Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas membelasah Sabah FC 4-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Skuad kendalian Hector Bidioglio melengkapkan kemenangan ke-16 dalam saingan liga untuk mengumpul 49 mata sekali gus berada di landasan terbaik bagi merealisasikan sasaran musim 2024/2025 ketika hanya perlu mengharungi baki tujuh perlawanan liga sahaja lagi.

Kesungguhan barisan pemain JDT untuk menidakkan impian menggunung pengendali The Rhinos, Martin Stano yang mahu melakar kejutan ke atas Harimau Selatan bermula pada minit ketiga, apabila rembatan Arif Aiman Hanapi hampir mencipta jaringan namun sepakan kencang itu tersasar.

Kelibat Jese Rodriguez yang diturunkan dalam kesebelasan utama turut terlepas peluang mencipta jaringan pada minit ke-16 selepas bola rembatan leret hanya sipi gawang gol sebelah kiri ketika penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas.

Aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan nyata berintensiti tinggi dengan masing-masing tampak menguasai kawasan tengah padang dan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed juga perlu bekerja keras bagi menghalang percubaan merbahaya Joao Pedro pada minit ke-34.

Malah sepakan lencong Bergson da Silva yang menerima lorongan Muniz pada minit akhir babak pertama masih belum mampu merungkai jaringan ketika kedua-dua pasukan melangkah masuk ke billik persalinan dengan kedudukan tanpa sebarang jaringan.

Bersambung babak kedua, akhirnya gol yang dinantikan JDT menjelma pada minit ke-50 selepas Muniz melakukan sentuhan `magis’ menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gawang menyaksikan Khairul Fahmi tergamam melihat bola menerjah jaring.

JDT terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-61 selepas bola lorongan Bergson menyaksikan pemain gantian, Romel Morales yang berada di dalam kotak penalti merembat bola melepasi palang gol ketika Khairul Fahmi sudah tertewas.

Serangan bertali arus Harimau Selatan menjelmakan gol kedua dan sekali lagi Muniz mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-61 apabila menyudahkan bola hantaran pemain gantian Heberty Fernandes.

Memasuki minit ke-76, berpandukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil Mohd Hasrol Mohd Amin mengesan bola terkena tangan kiri Park Tae-su dan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson yang mengambil sepakan penalti itu pada minit ke-77, mudah merembat masuk menewaskan Khairul Fahmi dan sekali gus menambah koleksi jaringan yang ke-20 dalam pemburuan Kasut Emas pada musim ini.

sumber:-BH

Berpunca daripada kesilapan pemain gantian Farhan Roslan dan Rawilson Batuil pada minit ke-83 membolehkan Bergson mencuri bola dan bergerak secara solo dari tengah padang sebelum mudah menewaskan Khairul Fahmi untuk mencetak gol kedua peribadi dan jaringan ke-21 pada saingan liga dan kekdudukan 4-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.