sukan

JDT lebih fokus Asia, tak ‘pandang’ sangat saingan domestik

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kini memberi tumpuan kepada kejayaan di pentas Asia kerana mereka ‘jauh mendahului’ pencabar domestik seperti Selangor, kata Ketua Pegawai Operasi (COO), Alistair Edwards.

Bekas pemain Australia itu berkata, Harimau Selatan sedang membentuk semula landskap bola sepak Asia Tenggara ketika ditanya mengenai tahap JDT berbanding kelab tempatan lain.

“Secara amnya, kami boleh dikatakan jauh mendahului,” kata Edwards kepada pencipta kandungan dari Britain, Emmanuel Brown.

“Sebab itulah kami mencatat rekod tanpa kalah. Sebab itu saya sukakan Liga Juara-Juara Asia (ACLE) dan Piala Shopee (Kejohanan Kelab ASEAN), kerana anda bermain menentang pasukan terbaik Asia,” katanya lagi.

Edwards berkata, JDT sejak sekian lama mengukur kemampuan mereka berdasarkan pasukan elit Asia dan bukannya pencabar dalam Liga-M.

“Apabila kami bermain dalam Liga Juara-Juara, kami menewaskan juara Korea, kami menewaskan juara Jepun dan kami bermain pada tahap ini.

“Bermain dalam Liga Juara-Juara Asia adalah tahap tertinggi..ia seperti Liga Juara-Juara (UEFA),” katanya.

Sejak penstrukturan semula pada 2013, JDT sudah memenangi 10 kejuaraan Liga Super berturut-turut, selain melakar beberapa kejayaan merangkul empat trofi domestik dalam satu musim.

JDT juga menjadi kelab Asia Tenggara pertama menjuarai Piala AFC pada 2015.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, intensiti pasukan dalam saingan liga domestik didorong secara langsung oleh pemilik kelab merangkap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahktota Ismail.

“Salah satu perkara pertama yang bos katakan kepada saya ketika saya bertemu dengannya ialah, ‘Saya mahu jatuh cinta dengan bola sepak yang saya lihat, bola sepak yang dimainkan oleh pasukan saya.’

“Dan itulah yang kami cuba lakukan,” kata Garcia.