KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, 11 tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka akan terus menguasai saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam tempoh 100 tahun akan datang sekiranya pasukan yang bertanding sekadar menjadi pelengkap jadual sahaja.
Pemerhati bola sepak dan bekas Penolong Pengurus Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Shahar berkata, melihat perkembangan persiapan pasukan yang bertanding di Liga Super ketika ini yang agak sunyi sepi, maka tidak mustahil perkara itu akan terjadi dalam Liga M.
Selain itu, perbezaan yang begitu ketara dan tiada pasukan yang mampu memberi saingan yang setaraf menyebabkan JDT begitu selesa berada di atas sehingga peminat boleh menjangkakan pasukan mana akan menjadi juara.
“JDT akan terus berada di situ, kekal (di atas). Kalau yang berada dalam rakan kongsi Liga M ini sekadar penyertaan sahaja, maka di situlah takuk dia. Jadi bila kita nak kemeriahan tiap-tiap minggu, kita tengok JDT sajalah.
“Kita tak boleh marah. Saingan yang ada ketika ini tidak akan mampu menyaingi JDT, kalau apa yang berlaku sekarang. Sekarang ni kita tengok meriah sikit dengan persiapan Kelantan. Kita tengok apa yang dia cuba tampilkan dalam perlawanan siri persahabatan dan dengan apa yang mereka usahakan.
“Negeri lain macam mana, apa kita nampak persiapan mereka? Selangor kita nampak sikit tapi pasukan lain?,” katanya ketika tampil dalam program Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro, baru-baru ini.
Selain itu, Kamarul Ariffin juga melihat status yang ada kepada pasukan Harimau Selatan sebagai permata buat Liga M sehingga membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
sumber:- HM
Sejak Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih pasukan Harimau Selatan pada 2012, selain juara Liga Super 11 tahun berturut-turut mereka turut merangkul treble Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.