sukan

JDT masih belum selamat

JOHOR BAHRU: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) harus tampil dengan percaturan lebih ampuh apabila melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Walaupun meraih kemenangan 3-2 ke atas KDA pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, 19 Julai lalu, namun kedudukan itu belum selamat buat skuad kendalian Hector Bidoglio yang perlu merencana percaturan lebih padu untuk meloloskan diri ke final.

Kegagalan meraih kemenangan dalam aksi Liga Super selepas terikat 1-1 dengan PDRM FC, Rabu lalu juga tampak memberi impak buat barisan pemain JDT dan mereka harus segera bangkit dengan corak permainan berintensiti tinggi.

Bidogli mengambil jalan selamat dan enggan terlalu meletak sasaran tinggi, sebaliknya tetap menganggap pertembungan menentang Sang Kenari masih sukar walaupun atas kerata, JDT sudah menghampiri pentas final.

“Setiap perlawanan yang diharungi, kami perlu perbaiki tidak kira berdepan dengan pasukan yang kuat atau lemah. Kami anggap semua pasukan yang bersaing dalam liga adalah pasukan hebat dan perlu berwaspada dengan penampilan mereka.

“Kami akan berdepan Kedah pada aksi separuh akhir kedua dan ia tetap perlawanan sukar bagi kami. Namun dengan kelebihan beraksi di laman sendiri dan sokongan penyokong bakal menyuntik semangat pemain untuk berjuang dalam perlawanan itu nanti.

“Apa pun, episod yang saya anggap duka di Stadium Majlis Perbandaran Selayang selepas seri dengan PDRM FC tampak segera dilupakan pemain. Malah, mereka memberi fokus 100 peratus bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua Piala FA,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu bagaimanapun masih berahsia mengenai kesebelasan pemain yang bakal diturunkan pada pertembungan ‘hidup dan mati’ Harimau Selatan untuk memburu slot ke final dan mempertahankan kejuaraan Piala FA.

Jika mengikut percaturan Bidoglio, nama Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi akan tetap menjadi pilihan dan ramai peminat JDT berharap kelibat Fernando Forestieri yang berehat lama akibat kecederaan dapat diturunkan dalam perlawanan itu nanti.

sumber:-BH

“Saya optimis siapa sahaja yang diturunkan akan memberi yang terbaik dan tiada faktor keletihan yang menggangu perancangan pasukan. Sebaliknya semua pemain yang berada dalam skuad JDT ingin beraksi setiap perlawanan dan kami harus sentiasa bersedia,” katanya.