sukan

JDT memberi impak besar kepada kedudukan Malaysia di pentas Asia

Konsistensi Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Asia terus memberi impak besar kepada kedudukan bola sepak negara.

Kejayaan Harimau Selatan mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026-27 membantu melonjakkan ranking MA ke tangga kesembilan Asia.

Menerusi perkongsian di laman sosial rasmi JDT, Johor Southern Tigers, menyaksikan kelab itu menyumbang 33.61 mata atau 75.3 peratus daripada keseluruhan 44.642 mata yang dikumpulkan Malaysia bagi musim 2026-27.

Ia adalah hasil kemenangan ke atas Pohang Steelers dari Korea Selatan dan wakil Thailand, Port FC dalam aksi Zon Timur.

Pencapaian itu turut meletakkan Malaysia di kedudukan kelima zon Asia Timur, sekali gus membuka peluang negara untuk memperoleh tambahan slot penyertaan kelab dalam kejohanan peringkat Asia bagi musim 2028-29.

Kutipan mata JDT itu membuktikan betapa besarnya peranan kelab berkenaan dalam membantu meningkatkan kedudukan Malaysia, terutama menerusi pencapaian konsisten dalam pertandingan peringkat tertinggi Asia.

Menariknya, peluang untuk Malaysia menambah kutipan mata masih terbuka apabila JDT bakal turun beraksi sekali lagi dalam saingan ACLE, Selasa ini.

Kemenangan dalam perlawanan berkenaan bukan sahaja penting buat JDT untuk meneruskan kempen cemerlang di pentas Asia, malah berpotensi menyumbang mata tambahan kepada Malaysia bagi memperkukuhkan kedudukan dalam ranking MA.

Perlawanan keempat itu menyaksikan JDT bakal berdepan wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium Piala Dunia Jeonju dengan Harimau Selatan memburu kemenangan ketiga dalam kempen berkenaan.

Sekiranya JDT sekali lagi mencatat kemenangan, kutipan mata Malaysia berpotensi terus meningkat dan mengukuhkan peluang negara untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok sembilan terbaik Asia, sekali gus merealisasikan sasaran mendapatkan tambahan slot kelab bagi musim 2028-29.