ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan dominasi dalam saingan Liga Super apabila membelasah DPMM FC 10-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi, sekali gus mengukuhkan cengkaman di puncak liga.
Masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Chengdu Rongcheng FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Selasa lalu, skuad kendalian Xisco Munoz tampil garang sejak sepak mula dan langsung tidak memberi ruang kepada lawan dari Brunei itu.
JDT hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka jaringan apabila hantaran lintang Arif Aiman Hanapi disambar Bergson da Silva yang menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
Tersentak dengan jaringan itu, DPMM FC cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi rembatan deras Ramadhan Sananta, namun percubaannya sedikit tinggi melepasi palang.
Skuad Harimau Selatan terus mengasak dan memperoleh sepakan penalti pada minit ke-32 selepas Oscar Arribas dijatuhkan Syafiq Safiuddin Abd Sharif, yang kemudian dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.
Bergson tidak mensia-siakan peluang untuk meledak gol kedua peribadi, sebelum melengkapkan hatrik empat minit kemudian hasil umpanan Afiq Fazail bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Menjelang rehat, Arribas turut mencetak nama sebagai penjaring apabila melakukan larian solo menewaskan dua pertahanan pelawat sebelum merembat leret menewaskan Haimie bagi meletakkan JDT selesa mendahului 4-0 pada babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, JDT terus mengganas apabila Manuel Hidalgo yang baru dimasukkan menambah jaringan kelima menerusi rembatan leret selepas menerima umpanan Romel Morales pada minit ke-50.
Gol sendiri Pengiran Yura Indera Putera Pengiran Yunos pada minit ke-63 menjadikan kedudukan 6-0 sebelum Arif Aiman akhirnya menjaringkan gol peribadi pada minit ke-68 hasil hantaran Morales, diikuti jaringan keempat Bergson pada minit ke-72 bagi melengkapkan pesta 8-0.
DPMM FC semakin longlai di hujung permainan apabila Jairo da Silva meledak gol kesembilan pada minit ke-81, sebelum Morales menutup malam gemilang JDT dengan tandukan cantik hasil hantaran Hidalgo pada minit ke-88 untuk melengkapkan kemenangan 10-0.