KUALA LUMPUR: Harimau Malaya akan menentang India pada aksi persahabatan antarabangsa, Isnin ini tanpa kelibat bintang muda sensasi Arif Aiman Hanapi dan tonggak pertahanan, Matthew Davies.
Ia susulan dua pemain itu bersama seorang lagi pemain pertahanan, Feroz Baharudin tidak terbang bersama skuad kendalian Pau Marti Vicente ke Hyderabad.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan ketiga-tiga pemain itu dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Ia susulan jadual dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu, 20 November 2024.
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu.
“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan menyertai skuad 23 pemain Harimau Malaya untuk terbang ke Hyderabad dari Bangkok, malam ini,” kata FAM.
sumber:-BH
Perkembangan itu menyaksikan hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India berbanding 26 pemain ketika menentang Laos di Bangkok, kelmarin.