KUALA LUMPUR: Kejayaan menewaskan Sabah dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu bukan sahaja membolehkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super musim ini.
Malah, kemenangan 4-0 yang dilakar di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio mencipta satu lagi rekod baharu.
JDT dalam catatan di laman Facebook kelab itu memaklumkan kemenangan ke atas Sabah membolehkan skuad Harimau Selatan mencatat rekod 29 kemenangan berturut-turut di laman sendiri dalam kejohanan Liga Super Malaysia sejak 24 Jun 2022.
“(Ia) sekali gus memecahkan rekod sendiri yang diiktiraf oleh ‘Malaysia Book of Records’ pada 19 Julai 2019 iaitu kemenangan berterusan paling banyak (28 perlawanan),” kata JDT.
Pada 19 Julai 2019, media melaporkan JDT mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pasukan dalam negara berjaya menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.
sumber:-BH
Pengiktirafan itu juga diberi kerana kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bermula tahun 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan liga pada musim 2016.