KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu sedia membuat pertimbangan terbaik untuk melepaskan Arif Aiman Hanapi sekiranya bintang sensasi itu benar-benar mendapat tawaran yang menarik di luar negara.
Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa tindakan itu boleh menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan prestasi skuad negara.
Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu berkata, ia kerana Arif Aiman mungkin berpeluang untuk beraksi di liga lebih tinggi yang mampu meningkatkan lagi bakat atau mutu persembahannya berbanding hanya kekal beraksi di Liga Malaysia (Liga M).
Beliau bagaimanapun menjelaskan, penilaian atau pertimbangan sewajarnya harus di lakukan JDT dan Arif Aiman sebelum membuat sebarang keputusan kelab mana yang perlu dipilih bagi mengelak sejarah pemain negara ‘tenggelam’ apabila berhijrah ke luar negara berulang.
“Pada saya, ini peluang yang baik untuk Arif Aiman mengembangkan lagi bakat dia. Tidak dinafikan duduk di JDT bagus dengan sokongan pihak pengurusan dan rakan sepasukan serta kemudahan yang baik untuk prestasi dia.
“Namun, lebih bagus sekiranya dia boleh didedahkan lagi dengan cabaran besar yang betul-betul menguji kebolehannya terutama berdepan pihak lawan lebih berkualiti.
“Saya percaya Arif Aiman ada bakat luar biasa, kalau tidak, takkan orang ‘tergila-gila’ mengiktiraf bakat dia. Kalau betul dapat peluang (dari liga dan kelab terbaik), dia kena fikir jauh dan berjiwa besar menyahut cabaran bermain di luar negara.
“Ia juga akan membantu meningkatkan prestasi pasukan negara apabila dia dipanggil menyertai Harimau Malaya kelak. Kalau tanya saya, memang saya sangat setuju jika Arif Aiman mahu beraksi di luar negara demi bola sepak negara.
“JDT mempunyai matlamat besar dalam membantu bola sepak negara, jadi mereka harus berjiwa besar serta sedia mempertimbangkan untuk lepaskan Arif Aiman, tidak kisah sama ada secara pinjaman atau (perpindahan) secara tetap,” katanya kepada BH Sukan.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan laman penyokong iaitu Rangers Journal sekali lagi mengiktiraf bakat dan kualiti yang dimiliki Arif Aiman selepas sebelum ini mencadangkan supaya kelab Scotland itu membawa masuk bintang berusia 23 tahun itu.
Sebelum ini, terdapat juga dakwaan bahawa Arif Aiman mendapat tawaran daripada kelab Iran, namun setakat ini tiada pengesahan rasmi dibuat oleh JDT mengenai khabar angin itu.
Selain itu, Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyifatkan bermain di liga Iran sebagai pilihan lebih baik buat Arif Aiman berbanding liga Scotland.
“Pasukan Iran kerap beraksi dalam Piala Dunia dan mungkin Arif Aiman mendapat peluang beraksi dengan pemain yang pernah bermain di Piala Dunia. Malah, negara Asia lebih sesuai dari aspek budaya dan cuaca jika dibandingkan dengan Eropah.
sumber:-BH
“Seandainya perpindahan itu menjadi kenyataan, Arif juga perlu pastikan dia mendapat minit permainan yang banyak dan kalau boleh kena dapatkan tempat dalam kesebelasan utama. Sebab itu saya katakan dia perlu berjiwa besar,” katanya.