sukan

JDT perlu tenang hadapi Gwangju FC

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak perlu gentar dengan ancaman kelab dari Korea Selatan, Gwangju FC apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Yongin Mireu, di Yongin, Korea Selatan, petang esok.

Walaupun Gwangju FC yang dibimbing Lee Jung-Hyo masih kekal di tangga teratas saingan itu selepas merekod dua kemenangan dan mengumpul enam mata, barisan pemain Harimau Selatan yang kini di tangga kedua dengan empat mata perlu menunjukkan kredibiliti dan kekuatan tersenditi untuk berusaha melakar kejutan dalam perlawanan itu nanti.

Apapun, faktor cuaca sejuk yang bakal dihadapi barisan pemain JDT mungkin sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan namun mereka harus melupakan apa jua senario dan memberi yang terbaik bagi memburu tiga mata.

Yang pasti kehadiran bekas bintang Real Madrid Jese Rodriguez bakal menyuntik semangat buat Harimau Selatan dan akan membentuk kombinasi mantap bersama Jose Obregon dam Arif Aiman Hanapi pada pertembungan yang dijangka sengit.

Lebih meyakinkan Rodriguez baru mula berlatih bersama JDT berjaya menjaringkan satu gol ketika aksi persahabatan menentang kelab dari Liga Singapura (Liga S), Balestier Khalsa FC yang menyaksikan kemenangan 8-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

Skuad yang dibimbing Hector Bidoglio perlu waspada dengan ancaman pemain import dari Macedonia, Jasir Adani yang sudah meledak empat gol dalam saingan kelab-kelab elit Asia itu malah perlu juga mengawasi kelicikan pemain import dari Brazil, Thomás Bedinelli.

Justeru, posisi tengah JDT yang bakal diketuai Natxo Insa harus memainkan peranan bukan sahaja mengatur dan menyusun strategi sebaliknya perlu lebih agresif mematikan setiap penguasaan bola pemain Gwangju FC.

Bahagian pertahanan juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah dan tugas bagi memastikan benteng sentiasa ampuh pasti terletak kepada Eddy Israfilov yang akan dibantu Shahe Lowry selain kelibat belas penjaga gol Real Sociedad, Andoni Zubiaurre yang beraksi dalam dua perlawanan ACLE lalu.

sumber:-BH

Malah Bidoglio harus menerapkan taktikal disiplin yang tinggi dan intensiti permainan tinggi bagi mengatasi kelebihan pemain Gwangju FC yang pastinya akan bermain secara agresif dalam usaha mengekalkan tangga teratas saingan itu.