KUALA LUMPUR: Tindakan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikat dua pemain warisan Harimau Malaya dianggap memudahkan kerja ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski dalam membentuk pasukan negara pada masa akan datang.
Kelmarin, JDT mengumumkan ketibaan perancang tengah Harimau Malaya, Hector Hevel dan tonggak pertahanan, Jon Irazabal sebagai taruhan terbaharu mereka bagi menghadapi saingan musim 2025-2026.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan perpindahan dua pemain warisan itu ke pasukan Harimau Selatan turut akan memberi impak kepada pasukan Harimau Malaya.
Beliau berkata, antara manfaat yang diperoleh daripada perpindahan itu termasuk barisan kejurulatihan skuad kebangsaan mudah untuk memantau prestasi Hevel dan Irazabal selain mereka juga dapat membentuk keserasian lebih baik dengan ramai pemain Harimau Malaya yang berada dalam skuad JDT.
“Kalau mereka tak bermain dengan kelab di sini (Liga Malaysia), apabila dipanggil untuk mewakili negara, mungkin banyak perkara yang perlu dipertimbangkan terutama dari segi corak permainan.
“Kita tahu JDT pasukan yang mana dibarisi 60 hingga 70 peratus pemain kebangsaan. Jadi, apabila mereka berada di JDT, permainan mereka akan lebih mantap lagi. Di samping JDT itu sendiri mantap, pasukan negara pun dapat manfaat.
“JDT juga akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan kejohanan lain peringkat ASEAN. Ia akan memudahkan barisan kejurulatihan negara melihat prestasi mereka untuk dipanggil ke pasukan kebangsaan nanti,” katanya kepada BH Sukan.
Irazabal membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika membantu skuad negara membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun lalu.
Hevel pula dua kali menyarung jersi Harimau Malaya yang mana dia meledak gol untuk membantu skuad negara menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama kelayakan itu di Stadium Sultan Ibrahim, Mac lalu selain memainkan peranan penting ketika skuad negara menundukkan Vietnam.
Sebelum ini, terdapat laporan bahawa segelintir peminat mengharapkan Irazabal kekal beraksi di liga luar negara yang dianggap lebih kompetitif selepas dia berpisah dengan kelab Azerbaijan, Sabah FK.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Wan Jamak menjelaskan bahawa terdapat ‘pro dan kontra’ sekiranya tonggak pertahanan berusia 29 tahun itu beraksi di liga luar negara atau Liga Malaysia.
“Jika dia bermain di luar negara, mungkin kompetitif itu lebih tinggi dan persaingan lebih hebat. Bukan kata liga kita ini tidak hebat, liga kita pun hebat juga, cuma beberapa tahun kebelakangan ini liga kita banyak dikuasai JDT.
sumber:- BH
“Namun, kelebihan JDT ini kerana mereka akan beraksi dalam saingan peringkat Asia dan berdepan pasukan kuat dari Asia. Jadi, pertandingan itu mungkin memberi persaingan lebih hebat buat pemain,” katanya.