sukan

JDT sedia manfaat kelebihan berdepan Kelantan Red Warriors

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam untuk terus memburu kemenangan kedua apabila melayani kunjungan Kelantan Red Warrior (KRW) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, aksi kedua itu amat penting buat skuad Harimau Selatan bagi mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya menewaskan Kuching City FC (KCFC) 3-0 dalam aksi pembukaan tirai liga.

Dia juga menuntut barisan kesebelasan utama yang bakal diturunkan nanti dapat memperaga corak permainan agresif apabila berdepan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

“Ini kali pertama JDT akan berdepan skuad bimbingan Irfan Bakti dan sudah tentu kami akan mengkaji dengan lebih terperinci formasi permainan pasukan lawan dan mengenal pasti gaya individu setiap pemain pasukan itu terutama kelebihan mereka ketika beraksi di padang.

“Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka walaupun pasukan itu tewas 4-1 kepada Selangor FC, baru-baru ini dan kami harus mengkaji dan mengumpul maklumat bagi membuat persiapan menentang kelab dari Pantai Timur itu.

“Kemungkinan juga kami akan melakukan penggiliran pemain bagi memberi peluang kepada pemain yang tidak diturunkan pada aksi pertama liga namun ia bukan penggiliran besar-besaran, sebaliknya lebih terarah bagi menguatkan posisi yang perlu diperkemaskan,” katanya.

Munoz juga tidak menafikan betapa beberapa muka baharu terutama barisan pemain import dalam skuad Harimau Selatan itu masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal diterapkan dalam permainan dan ia bukan masalah besar tapi bagi memastikan setiap gerakan dan umpanan lebih kemas dan tersusun sepanjang 90 minit permainan.

Katanya, pemain import baharu perlu memahami apa yang pasukan inginkan dan mereka juga perlu menterjemahkan dengan corak permainan yang lebih efisien bagi memastikan percaturan dalam permainan beri impak positif bagi memburu kemenangan.