Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil pendekatan memberi peluang kepada pemain muda dan simpanan untuk beraksi dalam Piala Malaysia serta Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, manakala pasukan utama kekal fokus terhadap tiga kejohanan utama musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, polisi baharu itu diperkenalkan bagi memastikan pemain muda daripada Akademi JDT mendapat pendedahan di peringkat tertinggi selain memudahkan proses transisi mereka ke skuad senior.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara pengurusan kelab, jurulatih pasukan utama dan barisan kejurulatihan akademi.
“Kelab telah membuat keputusan untuk memberi keutamaan kepada Liga Super Malaysia, Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) dan Piala FA serta memastikan peluang diberikan kepada pemain junior dan simpanan beraksi di Piala Malaysia dan Piala Shopee,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi JDT.
Garcia berkata, pendekatan itu juga membolehkan pemain muda meraih pengalaman beraksi dalam perlawanan kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa, selain membantu JDT mengurus jadual padat membabitkan lima kejohanan.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan semua pemain berada dalam keadaan terbaik ketika menghadapi setiap kejohanan yang disertai.
“Ini akan memastikan pemain-pemain muda ini mendapat pengalaman dalam aksi domestik dan antarabangsa, selain membantu JDT mengharungi jadual melibatkan lima kejohanan skuad senior serta memastikan semua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi semua kejohanan,” katanya.
Polisi itu dilihat selari dengan perkembangan positif Akademi JDT sejak kebelakangan ini, khususnya skuad Bawah 21 Tahun (B-21) yang baru-baru ini meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) selain muncul juara Piala Presiden selama empat tahun berturut-turut.
Garcia berkata, beberapa pemain daripada skuad B-21 dan pasukan simpanan juga sudah mula menjalani latihan bersama pasukan utama sebagai persediaan untuk diberikan peluang beraksi.
Antara pemain yang sudah mendapat perhatian ialah penyerang B-21, Muhammad Daniesh Amirruddin yang membuat penampilan sulung bersama skuad utama dan terus mencuri tumpuan apabila meledak dua gol ketika menentang UM-Damansara United dalam aksi Piala FA baru-baru ini.
Menurut Garcia, pengalaman berlatih dan beraksi bersama pasukan utama pada intensiti tinggi dapat membantu pemain muda membuat persediaan sebelum beralih sepenuhnya ke skuad senior.
“Langkah ini akan memberikan pemain-pemain muda dan simpanan pengalaman bermain pada intensiti tinggi bersama skuad utama, sekali gus menyediakan mereka untuk melakukan transisi ke skuad senior dan membantu menjamin masa hadapan mereka dalam kelab ini,” katanya.