sukan

JDT selesa dahului Selangor

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) bergelut untuk menyaingi Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila ketinggalan 0-2 di tangan juara bertahan itu selepas tamat babak pertama final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sepakan percuma Juan Muniz pada minit ke-26 dan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-41 meletakkan skuad Harimau Selatan berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan trofi dimenangi dua tahun berturut-turut sebelum ini.

JDT tampil dengan corak permainan menyerang dan terus mengasak kubu SFC dengan corak permainan agak keras diperagakan menyaksikan beberapa terjahan dilakukan kedua-dua pasukan selain beberapa ‘pergaduhan’ kecil tercetus sepanjang babak pertama.

Peluang terbaik JDT hadir seawal minit keempat menerusi gerakan solo Heberty Fernandes yang mendapatkan bola selepas Sharul Nazeem Zulpakar kehilangan bola dalam kawasan sendiri namun pantas ditutup Harith Haiqal Adam Afkar.

Percubaan Arif Aiman pada minit ke-11 belum cukup menguji penjaga gol SFC, Sam Somerville sebelum tandukan Ronnie Fernandez hasil hantaran lintang Alvin Fortes seminit berselang tersasar sedikit melepasi gawang JDT.

Ronnie terus menjadi ‘duri dalam daging’ buat JDT apabila kelibatnya kerap memberi masalah kepada benteng JDT dan dia sempat melancarkan satu lagi percubaan pada minit ke-18 meskipun gagal menepati sasaran.

Selepas beberapa percubaan daripada permainan terbuka disekat SFC, JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-26 apabila sepakan percuma menarik Muniz menewaskan Somerville untuk gol pembukaan perlawanan.

sumber:-BH

Berbaki empat minit babak pertama, JDT melebarkan jurang apabila hantaran lintang Oscar Arribas disudahkan Arif Aiman untuk meletakkan JDT selesa dengan 2-0.