JOHOR BAHRU: Pemain bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies mengakui rakan sepasukan begitu ambil serius aksi menentang Central Coast Mariners pada aksi Kumpulan Zon Timur, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Central Coast, di Gosford, New South Wales, Australia, petang esok.
Pemain warisan itu berkata, barisan pemain JDT perlu berwaspada dengan barisan pemain skuad kendalian Mark Jackson yang dilihat dibarisi pemain berbeza apabila mereka melakukan perubahan dalam skuad itu.
“Memang ada sedikit rumit untuk mengenal pasti rentak permainan yang bakal ditampilkan kelab dari Australia itu kerana mereka kerap melakukan rombakan pemain setiap tahun dan saya sendiri tidak pasti pemain mana yang akan beri ancaman kepada JDT.
“Walaupun mereka tidak konsisten pada saingan ACLE tapi kami tidak boleh pandang rendah dengan kemampuan Central Coast Mariners kerana dalam permainan bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan sebab di awal tadi saya katakan perlu ambil serius mengenai perlawanan itu nanti.
“Apapun ia perlawanan sukar bagi kami tatkala beraksi di tempat lawan dan kami jangkakan aksi lebih kepada pertembungan fizikal dan ini adalah tahun keenam kami dalam saingan Asia dan Central Coast Mariners baru setahun dalam saingan itu,” katanya pada sidang media pra perlawanan. sebentar tadi.
Davies juga berharap sesiapa sahaja yang bakal diturunkan akan memberi lebih 100 peratus dalam permainan nanti kerana misi utama skuad Harimau Selatan ke Australia adalah memburu kemenangan dalam usaha menempatkan diri dalam kelompok pusingan 16 pasukan terbaik dalam saingan elit Asia.
sumber:-BH
“Mungkin kelebihan kepada kami yang akan menggunakan segala pengalaman beraksi di pentas Asia selain kami dibarisi pemain yang berkualiti dan kami akan berusaha untuk mendapat keputusan yang positif dalam perlawanan itu nanti,” katanya.