sukan

JDT tempah slot ke final Piala Malaysia

ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas Terengganu FC dan layak ke final dengan agregat 6-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, petang tadi.

JDT akan berdepan sama ada Pahang FC atau Sabah FC yang akan membuat perhitungan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang untuk memburu slot ke final esok dan bakal berdepan skuad Harimau Selatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 26 April ini.

Agak menarik pada perlawanan itu apabila Hector Bidoglio mempertaruhkan penjaga gol muda Christian Abad Amat yang berusia 18 tahun mengemudi gawang JDT serta meletak Jose Obregon beraksi di posisi serangan dengan kelibat Juan Muniz tidak tersenarai dalam kesebelasan utama mahupun di bangku simpanan.

Berbekalkan kelebihan 4-0 dimiliki, JDT tampak enggan berada dalam keadaan selesa sebaliknya tetap memberi tekanan terhadap benteng anak didik Badrul Afzan Razali yang terpaksa berhempas pulas mengekang asakan berbahaya Harimau Selatan sebaik perlawanan bermula.

Peluang terbaik JDT untuk merungkai jaringan hadir seawal minit kesembilan apabila bola lorongan Arif Aiman Hanapi tepat kepada Bergson da Silva tetapi bola rembatan leret itu berjaya dihadang penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.

Skuad Penyu turut mengundang cemas benteng tuan rumah selepas bola sepakan percuma Safwan Mazlan pada minit ke-15 hanya sipi melewati palang gol ketika Christian Amat sudah pun tertewas.

Syed Nasrulhaq memastikan gawang TFC masih kebal apabila berjaya menghalang percubaan berbahaya Arif Aiman pada minit ke-28 selepas menerima bola lorongan Heberty Fernandes.

Akhirnya Syed Nasrulhaq tertewas pada minit ke-31 selepas gerakan `set-piece’ yang menarik bermula dengan sepakan lintang Afiq Fazail ditanduk Bergson da Silva, membuka ruang buat Fernandes yang berada di dalam kotak penalti merembat kencang untuk meletak JDT mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, taktik permainan skuad Penyu tampak bermain secara `berkampung’ di kawasan sendiri ketika skuad Harimau Selatan mendominasi permainan apabila berusaha untuk menambah jaringan.

Namun serang balas TFC mengejutkan benteng tuan rumah apabila bola sepakan lintang Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili tepat kepada Ismaheel Akinade yang merembat kencang tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Christian Amat untuk meletak kedudukan 1-1 dan agregat 5-1 masih memihak JDT.

sumber:-BH

Ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan, Heberty menyelamat maruah JDT apabila bola rembatan deras dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gawang gagal diselamatkan Syed Nasrulhaq bagi memastikan kemenangan buat Harimau Selatan 2-1 dan layak ke final dengan agregat 6-1.