sukan

JDT terkesan diatas kecuaian FAM

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kecewa kecuaian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan Harimau Malaya ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, insiden tersebut mengakibatkan tiga pemain kebangsaan dari kelab itu digantung dan tidak dapat beraksi.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa berlakunya kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh FAM yang telah menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan Malaysia yang bermain untuk JDT.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan para pemain terbabit dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangan pentadbiran badan induk itu dan pihaknya memandang serius perkara tersebut.

Tiga pemain JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel antara tujuh pemain warisan selain Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca yang dikenakan hukuman penggantungan dan denda.

FAM pula dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Ketika ini, FAM sedang dalam fasa rayuan kepada badan induk bola sepak dunia itu.