JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu berwaspada berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang bakal turun dengan misi membalas dendam apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Ketua jurulatihnya, Hector Bidoglio mengakui situasi itu selepas skuad kendalian Nafuzi Zain tewas 1-5 secara agregat pada aksi separuh akhir Piala FA, baru-baru ini.
Malah, dia mengakui skuad Harimau Selatan perlu bangkit melakar kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di puncak liga selepas sekadar seri 1-1 pada aksi terakhir liga menentang PDRM FC pada 31 Julai lalu.
“Kami perlu perbaiki apa jua corak permainan terutama dalam keadaan bola mati kerana ia penting dalam usaha menjaringkan gol walaupun pada aksi lalu tampak berkesan ketika melakukan serangan tapi banyak lagi boleh dipertingkatkan.
“Untuk aksi menentang Kedah buat kali kedua berturut-turut, kemungkinan ia perlawanan sukar bagi kami dan perlu berwaspada dengan penampilan mereka yang mahu menebus kekalahan pada aksi Piala FA dan kami harus menggandakan lagi usaha bagi memburu kemenangan.
“Apapun, aksi Piala FA dan saingan liga amat berbeza dan kami tetap akan tampil dengan permainan berintensiti tinggi dan kesempatan beraksi di laman sendiri tidak boleh dilepaskan untuk melakar kemenangan,” katanya.
Bidoglio juga berkemungkinan menurunkan barisan pemain berbeza untuk berdepan KDA FC dengan merehatkan beberapa pemain namun akan membariskan kesebelasan terbaik pada aksi menentang anak didik Nafuzi.
sumber:-BH
Mengenai kelibat kapten Jordi Amat yang mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir Piala FA, Bidoglio mengesahkan pemain pertahanan JDT itu tidak mengalami kecederaan yang serius tetapi belum ada kepastian sama ada bakal diturunkan menentang KDA FC.