sukan

JDT waspada dengan perangkap TFC

JOHOR BAHRU: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal turun dengan corak permainan berhati-hati apabila berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, langkah itu bagi memastikan barisan pemainnya tidak terperangkap dengan helah corak permainan yang bakal ditampilkan skuad kendalian Badrul Afzan Razali.

“Kami akan menentang TFC sebanyak tiga kali iaitu aksi Piala Malaysia dua kali dan satu lagi aksi Liga Super. Kedua-dua aksi itu berbeza kerana dalam saingan Piala Malaysia tempoh 180 minit begitu kritikal dan kami harus waspada dengan corak taktikal yang akan digunakan lawan.

“Piala Malaysia begitu penting dan kami mahu memburu slot ke final bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu. Manakala dalam saingan liga momentum kemenangan perlu diteruskan bagi memburu kejuaraan liga dan kedua-dua piala itu menjadi agenda utama kelab.

“Terengganu adalah pasukan yang sangat baik dengan memiliki pemain berkualiti, jadi perlawanan separuh akhir nanti pasti menarik dan saya jangkakan tempo permainan juga berintensiti tinggi.

“Bagaimanapun, kami harus sentiasa fokus kepada diri sendiri dengan membuat persiapan rapi dan turun dengan corak permainan yang konsisten,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan JDT harus menunjukkan potensi sebenar dalam perlawanan itu dan memanfaatkan peluang terutama menerusi `set piece’.

sumber:-BH

Beliau juga tampak lega dengan tempoh seminggu bagi membuat persiapan selepas aksi menentang Sabah FC, Sabtu lalu.