JAKARTA: Belum tentu wajah sama!
Begitu bayangan yang diberikan pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe apabila beliau belum mengesahkan kesebelasan yang menewaskan Bangladesh 3-0 akan dikekalkan ketika berdepan Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), esok.
Cheng Hoe berkata barisan kejurulatihan masih menilai keadaan pemain sebelum membuat keputusan akhir, sekali gus membuka kemungkinan beberapa perubahan dilakukan bagi menghadapi cabaran berbeza daripada Garuda.
Walaupun, ramai yang berpendapat bahawa Cheng Hoe kemungkinan menurunkan pemain sama ketika menentang Bangladesh tempoh hari namun beliau memberi bayangan ada pemain tertentu mungkin berada di bangku simpanan sesuai dengan taktikal yang bakal diterapkan kelak.
“Kami barisan jurulatih masih lagi menilai beberapa pemain sama ada kita nak turunkan kesebelasan utama tempoh hari itu atau ada sedikit pertukaran.
“Tentunya, dengan menentang Indonesia kita akan turunkan barisan yang terbaik,” katanya.
Percaturan itu hadir selepas Harimau Malaya membuka kempen dengan penuh bergaya menerusi kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, manakala Indonesia turut bermula dengan kemenangan 2-0 mengatasi Singapura.
Namun bagi Cheng Hoe, aksi menentang Indonesia memerlukan pendekatan berbeza kerana tuan rumah memiliki kekuatan tersendiri, terutama di bahagian serangan yang dianggapnya cukup berbahaya.
“Saya lihat perlawanan Indonesia menentang Singapura tempoh hari memang kita nampak kekuatan Indonesia begitu baik sekali, terutamanya di bahagian serangan mereka mempunyai beberapa pemain yang berbahaya.
“Di samping itu mereka juga mempunyai pertahanan dan penjaga gol yang bertaraf dunia. Itu sebab kita kena bersedia menentang Indonesia, terutamanya di bahagian serangan mereka cukup serasi dan cukup berbahaya,” katanya.
Cheng Hoe berkata kekuatan Indonesia bukan sekadar bergantung kepada individu, sebaliknya keserasian serangan, teknik dan kemahiran pemain mereka perlu diberikan perhatian sepanjang 90 minit.
Justeru, beliau menuntut barisan pertahanan Harimau Malaya memberikan tumpuan 100 peratus dan tidak melakukan kesilapan ketika berdepan barisan serangan Garuda.
“Pertahanan kita perlu memberi tumpuan 100 peratus. Kita tidak boleh hilang leka apabila kita menyerang atau bertahan.
“Pada masa sama, kita perlu ada keyakinan untuk bergerak ke hadapan kerana setiap peluang yang kita dapat mesti dimanfaatkan.
“Perlawanan kedua ini memberi kita motivasi yang terbaik. Kita sudah bersedia selepas bermain satu perlawanan dengan Bangladesh dan mendapat kemenangan,” katanya.
Menghadapi Indonesia di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong Garuda juga tidak dianggap Cheng Hoe sebagai alasan untuk pemainnya tertekan, sebaliknya beliau mahu skuad negara turun dengan keyakinan bahawa mereka mampu mencipta sesuatu.
Malah pada masa sama, beliau mengingatkan pemain supaya bijak mengawal emosi jika berlaku sebarang provokasi daripada penyokong atau pemain kedua-dua pasukan kerana tumpuan mereka hanya perlu diberikan kepada perlawanan.
Ketika ini, Malaysia mendahului Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, manakala Indonesia berada di tangga kedua selepas kedua-dua pasukan mengutip tiga mata hasil kemenangan dalam aksi pembukaan, dengan skuad Harimau Malaya memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.