sukan

Jentera serangan skuad B-19 terlalu tumpul

SKUAD bawah 19 tahun (B-19) negara tumpul di bahagian serangan hingga menjadi antara punca mereka gagal mencari slot ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2025 susulan kehilangan dua penyerang utamanya akibat kecederaan.

Pengendalinya, Juan Torres Garrido menjelaskan dua penyerang utama tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Tajikistan dan Sri Lanka yang menyaksikan skuad negara hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan terbabit sekali gus menamatkan pusingan kelayakan di tangga keempat Kumpulan E.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu enggan menjadikan itu sebagai alasan dan menegaskan mereka perlu menambahbaik aspek penyudah selepas ia menjadi kelemahan ketara buat skuad negara sepanjang kempen di Dushanbe itu.

“Pertandingan sudah berakhir jadi saya boleh beritahu yang dua penyerang utama kita mengalami kecederaan selepas perlawanan kedua. Penyerang terakhir yang diturunkan pun baru pulih daripada kecederaan daripada kem latihan di China, jadi dia tidak berada dalam 100 peratus.

“Namun, ini bukan alasan dan kita sedar perlu memanfaatkan segala peluang yang kita ada di hadapan gol. Jika tidak, ini akan memberikan ruang kepada lawan dan mungkin kita akan menerima kekalahan kerana gagal menyempurnakan peluang yang dicipta selepas mendominasi perlawanan.

“Sebenarnya banyak peningkatan ditunjukkan selepas beberapa kem latihan pusat di mana kita dapat mencipta banyak peluang, situasi yang lebih baik tetapi masih kurang daripada segi ketepatan penyudah,” kata Garrido.

Terdahulu, impian skuad B-19 untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-20 lebur selepas menamatkan saingan di tangga keempat Kumpulan E.

Meskipun bermula baik dengan menewaskan Oman 2-1 pada aksi pertama, skuad negara gagal menggunakan kelebihan seorang pemain pada aksi kedua apabila terikat tanpa jaringan dengan Korea Utara yang mengesahkan slot ke pusingan akhir sebagai juara Kumpulan E.

sumber:-BH

Hasrat mereka berkecai apabila tewas dengan jaringan minit akhir Tajikistan pada perlawanan ketiga sebelum menutup kempen kelayakan dengan keputusan 1-1 menentang pasukan tercorot, Sri Lanka.