KUANTAN: Kurang keyakinan menyebabkan tidak banyak jaringan dapat dilakukan Sri Pahang FC selepas mengharungi empat perlawanan, termasuk satu perlawanan dalam saingan Piala FA.
Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, situasi itu menyebabkan skuadnya tidak mendapat keputusan yang meyakinkan untuk meletakkan Sri Pahang pada prestasi terbaik.
“Pemain agak kurang yakin kerana peluang memang ada tetapi penyudah tidak tepat menyebabkan Sri Pahang tidak dapat memberi tekanan kepada lawan.
“Atas faktor itu tempoh tiga minggu tanpa perlawanan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan jentera serangan lebih padu pada perlawanan akan datang,” kata Fandi.
Ditanya tentang tempoh rehat panjang tanpa perlawanan, Fandi mengakui situasi itu mampu mengganggu rentak permainan anak buahnya apabila kembali beraksi pada Sabtu ini.
Menurutnya, situasi itu memerlukan anak buahnya mengekal dan meningkatkan prestasi terbaik terutama daripada segi tahap kecergasan.
“Sudah pasti ia mengganggu terutama tempoh panjang tanpa perlawanan yang memerlukan semua pemain bekerja keras untuk pasukan memberikan persembahan meyakinkan apabila kembali beraksi Sabtu ini.
“Perlawanan terakhir ialah ketika tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 Jun lalu dan Sri Pahang perlu kekal cergas,” kata legenda bola sepak Singapura itu.
Selepas tiga perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan mengutip empat mata.
sumber:-BH
Bagi perlawanan keempat, skuad Tok Gajah akan berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh Sabtu ini.