sukan

Jepun hampiri pusingan akhir Piala Dunia 2026

HONG KONG: Jepun berada di ambang kelayakan ke Piala Dunia 2026 selepas menang 3-1 di China malam tadi, manakala Son Heung Min meledak gol sekali lagi ketika Korea Selatan diikat oleh Palestin.

Indonesia pula mengejutkan Arab Saudi 2-0 di Jakarta untuk menghidupkan saki baki peluang layak ke pusingan akhir di Amerika Utara pada 2026.

Tandukan Koki Ogawa dan Ko Itakura membantu pendahulu kumpulan Jepun unggul dua gol di depan pada babak pertama sebelum Lin Liangming membalas satu gol buat China pada awal babak kedua.

Ogawa meranapkan impian China untuk bangkit dengan gol keduanya sekali gus membuatkan 45,000 penonton di Xiamen senyap seketika, yang mana penonton tanpa tiket berkumpul di luar stadium untuk menonton aksi menerusi telefon mereka.

“Setiap pemain memberikan sumbangan terhadap kemenangan kami hari ini,” kata jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu.

“Pemain di tengah padang, pemain di bangku simpanan dan mereka yang tidak berada di bangku simpanan hari ini – kerana tenaga merekalah kami menang.”

Jepun beraksi perlawanan senior antarabangsa pertama mereka di China dalam tempoh sembilan tahun dan wujud permusuhan lama dalam sejarah antara dua negara itu.

Beratus-ratus anggota polis ditugaskan di luar Stadium Xiamen Egret, yang mana kira-kira 750 penyokong Jepun dijangka hadir menyaksikan perlawanan.

Kemenangan meyakinkan itu memberikan Jepun lima kemenangan dan sekali seri dalam Kumpulan C kelayakan Piala Dunia zon Asia dan membolehkan mereka semakin hampir memastikan tempat ke Piala Dunia.

Dua pasukan teratas dalam setiap tiga kumpulan akan layak ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, manakala pasukan tangga ketiga dan keempat akan berentap dalam satu lagi pusingan playoff.

Dalam Kumpulan B, Palestin – yang beraksi di Jordan – mendahului mengejut pada minit ke-12 berdepan Korea Selatan menerusi jaringan Zaid Qunbar.

Kelebihan itu bagaimanapun berakhir hanya empat minit apabila kapten Heung Min meledak masuk dari jarak dekat untuk menyamakan kedudukan buat Korea dengan gol ke-51 bersama pasukan kebangsaannya.

Heung Min dibatalkan satu gol kerana ofsaid pada hujung perlawanan.

Di sebalik keputusan sri 1-1 itu, Korea mengukuhkan impian layak ke Piala Dunia di tangga teratas kumpulan mereka, mendahului tiga mata dengan berbaki empat perlawanan.

sumber:-BH

Iraq menghuni tangga kedua dengan 11 mata susulan kemenangan 1-0 ke atas Oman di Muscat, manakala Jordan seri 1-1 di Kuwait meninggalkan mereka dua mata di belakang di tangga ketiga. – AFP